Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sumbangan peralatan perubatan bernilai lebih RM28 juta daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura.
Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin di Istana Pasir Pelangi hari ini.
Sumbangan yang melibatkan pelbagai peralatan perubatan itu adalah untuk kegunaan hospital kerajaan dalam merawat pesakit dan memberi sokongan berterusan terhadap usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
Menerusi catatan dalam laman Facebook DYMM Sultan Ibrahim, baginda bertitah KKM menerima 400 unit ventilator tekanan salur udara dwipositif (BIPAP) bernilai lebih RM8 juta.
Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut menerima pelbagai peralatan perubatan seperti pelindung muka, pelitup muka KN95, ventilator, mesin dialisis, swabbing mobile dan BIPAP yang bernilai lebih RM10 juta. Sebelum ini, JKNJ turut menerima pelbagai peralatan perubatan lain.
Sementara itu, menerusi ciapan Twitter YB Khairy Jamaluddin, KKM berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor yang berkenan menyempurnakan sumbangan tersebut.
Turut berangkat dalam majlis ini ialah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu dan Ahli Pemegang Amanah YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh Harjit Singh turut hadir mengiringi baginda.