Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenularan pandemik COVID-19 telah mencorak semula pergerakan, terutamanya dalam kawasan bandar dengan pelbagai cara. Hal ini dapat dilihat dengan penggunaan basikal yang semakin meningkat bagi tujuan perjalanan, beriadah atau berseronok. Basikal di jalan raya ialah kenderaan yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama seperti kenderaan bermotor. Namun demikian, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia melaporkan bahawa sebanyak 54 kematian, 18 orang cedera parah dan 63 orang cedera ringan akibat kemalangan membabitkan penunggang basikal. Oleh itu, inisiatif keselamatan perlulah ditumpukan untuk menggalakkan pilihan lebih selamat oleh penunggang basikal dan pemandu dalam mengurangkan kadar kecelakaan di jalan raya, terutamanya pada musim pandemik ini.
Langkah yang pertama ialah memastikan basikal yang ditunggang telah diselenggara dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Beberapa peralatan keselamatan khususnya seperti brek dan loceng berada dalam keadaan baik. Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuh Raya Amerika Syarikat melaporkan bahawa sebahagian besar kematian penunggang basikal adalah disebabkan oleh kecederaan parah di kepala. Hal ini menunjukkan kepentingan memakai topi keledar basikal. Penggunaan topi keledar dianggarkan dapat mengurangkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan kepala sebanyak 50 peratus dan kecederaan muka atau leher sebanyak 33 peratus. Topi keledar juga disarankan untuk ditukar ganti bagi setiap lima tahun untuk tujuan keselamatan.
Penunggang basikal juga haruslah menggunakan lampu depan dan belakang, walaupun pada waktu siang. Lampu ini memastikan penunggang basikal akan lebih kelihatan pada waktu siang. Lampu putih kelip menghala ke depan akan memudahkan penunggang basikal dilihat oleh kenderaan dari hadapan. Lampu merah kelip belakang pula akan memudahkan penunggang basikal dilihat oleh kenderaan dari belakang. Walau bagaimanapun, penunggang basikal harus mengandaikan yang pemandu kenderaan tidak akan melihat dengan jelas sekalipun dengan penggunaan lampu strob. Jika perlu berbasikal sebelum matahari terbit atau terbenam, penunggang basikal disarankan menggunakan lampu berkuasa tinggi untuk menyuluh jalan.
Di samping itu, penunggang basikal juga perlu memastikan warna pakaian yang dipakai semasa berbasikal mudah dilihat dan terang seperti kuning terang, merah, jingga atau jaket atau ves berwarna biru. Penunggang basikal harus mengelak dari memakai pakaian berwarna hitam atau kelabu yang sukar dilihat atau tidak kelihatan di bawah bayang-bayang. Sesetengah pakaian berbasikal juga mempunyai jalur pantulan. Perkara yang penting dalam pemilihan warna pemakaian ialah dapat dilihat dengan jelas dan dibezakan daripada persekitaran semasa menunggang basikal.
Penunggang basikal juga boleh memakai kaca mata keselamatan bagi melindungi mata daripada debu, puing dan silau matahari atau memakai kaca mata hitam yang dijual khusus untuk berbasikal. Kanta kaca mata yang jernih atau tidak berwarna sesuai digunakan ketika hujan kerana akan melindungi mata penunggang basikal dan tidak terlalu gelap. Terdapat juga cermin mata yang kantanya boleh ditukar supaya sesuai digunakan menurut keadaan. Penunggang basikal juga boleh menempah kanta preskripsi bagi tujuan ini.
Penggunaan sarung tangan yang baik dapat memenuhi beberapa tujuan kepada penunggang basikal. Sarung tangan dapat membantu penunggang basikal memegang hendal dengan lebih baik, terutamanya apabila berpeluh atau berbasikal semasa hari hujan. Sekiranya penunggang basikal terjatuh, sarung tangan akan melindungi tapak tangan dan mengurangkan dampak pada tapak tangan ketika terjatuh. Sarung tangan juga dapat mengurangkan tekanan daripada tapak tangan dan mencegah pembentukan lepuh.
Keselamatan semasa berbasikal bukanlah sekadar memakai peralatan pelindung, namun turut melibatkan cara penunggang basikal berinteraksi dengan pemandu motokar, pejalan kaki dan penunggang basikal lain. Penunggang basikal perlu mematuhi undang-undang lalu lintas, papan tanda jalan, isyarat dan tanda jalan raya. Penunggang basikal hendakla berbasikal di lorong basikal (jika ada), berkedudukan paling kiri dan dalam arah yang sama dengan lalu lintas apabila menunggang di jalan raya. Melanggar papan tanda berhenti dan peranti kawalan lalu lintas lain boleh membahayakan diri sendiri dan penunggang basikal lain, pejalan kaki dan pemandu motokar.
Satu-satunya cara untuk penunggang basikal berinteraksi dengan pengguna lalu lintas yang lain adalah dengan menggunakan isyarat tangan. Liga Penunggang Basikal Amerika Syarikat menyatakan bahawa undang-undang menetapkan penunggang basikal perlu menggunakan isyarat tangan yang betul, yakni menyampaikan hasrat penunggang basikal untuk membelok atau berhenti. Hal ini menjadikan keadaan menjadi lebih selamat untuk semua pihak.
Penunggang basikal disarankan untuk sentiasa menunggang dalam satu barisan walau di mana-mana sekalipun. Hal ini membolehkan kenderaan memberikan ruang tiga kaki apabila memintas tanpa perlu mengubah haluan ke dalam lorong bertentangan dan membenarkan penunggang lain memintas dengan selamat di jalan raya. Jika undang-undang bandar membenarkan aktiviti berbasikal di ruang kaki lima, penunggang basikal diingatkan bahawa menunggang secara bersaingan seramai dua orang atau tiga orang pada masa yang sama akan menyempitkan laluan pejalan kaki.
Penunggang basikal juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran. Kewujudan lopak, susur jalan, bahan seperti botol dan kaca, serta jeriji pembentung adalah risiko bahaya yang lebih besar kepada penunggang basikal berbanding kereta. Penunggang basikal disarankan untuk sentiasa memandang ke hadapan dan melihat cukup jauh ke hadapan supaya dapat mengelak atau berhenti cukup awal daripada melanggar bahaya tersebut. Penunggang basikal juga perlu menjangkakan bahawa seseorang mungkin membuka pintu kereta yang di parkir jalan apabila berbasikal melepasi kereta tersebut.
Penunggang basikal perlu mengelakkan perbuatan mencelah-celah di dalam lorong menunggang. Apabila penunggang basikal perlu mengelak halangan, menunggang secara tak berperhatian dan pergerakan rawak boleh mengelirukan atau menyebabkan pemandu lain terkejut. Pemandu kenderaan mungkin akan memperlahankan kenderaan atau mengelak daripada memintas penunggang basikal. Pemandu kenderaan juga mungkin memintas secara agresif dan hal ini mendedahkan mereka, penunggang basikal dan lalu lintas lain kepada bahaya.
Penunggang basikal juga perlu memastikan telefon bimbit dalam mod diam atau dimatikan semasa sedang dalam perjalanan atau melakukan latihan berjeda. Penunggang basikal tidak harus sama sekali menggunakan fon kepala kerana tindakan tersebut akan menyebabkan penunggang basikal tidak dapat mendengar lalu lintas. Selain itu, keadaan tersebut juga akan mengalihkan perhatian jika penunggang basikal perlu melepaskan hendal untuk menukar kekuatan bunyi, memilih lagu lain atau menerima serta menolak panggilan pada telefon bimbit.
Penunggang basikal boleh memasang beg basikal di bawah tempat duduk atau pada rangka basikal untuk menyimpan telefon kerana hal ini akan mengelak daripada mengganggu tumpuan penunggang basikal. Hal ini dapat mencegah daripada telefon terjatuh secara tidak sengaja. Penunggang basikal juga dilarang sama sekali untuk digalakkan berbasikal jika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Kemunculan pandemik COVID-19 sebenarnya telah mencipta momentum baharu dalam kalangan masyarakat ke arah kehidupan dan persekitaran yang lebih sihat. Segala peraturan semasa berbasikal perlulah dipatuhi dengan sepenuhnya kerana setiap individu, tanpa pengecualian, berhak kembali ke rumah masing-masing dengan selamat.
Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ts. Faridah Hanim Khairuddin ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.