30 November 2021, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia Techlympics 2021 yang dilancarkan pada 10 November 2021 merupakan insiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha membudayakan sains, teknologi dan inovasi. Program ini diadakan secara besar-besaran dan berperingkat di seluruh negara bagi mendorong bakat muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Objektif utama Techlympics adalah untuk memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan; membudayakan belia dengan minda; set kemahiran dan aksi yang menghasilkan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi selain melahirkan generasi penyelesai masalah dan tekno-usahawan masa depan. Program ini juga bertindak sebagai platform dalam usaha mengenal pasti inovasi belia muda yang boleh dikomersil dan dimajukan pada masa akan datang.

Rangka kerja Techlympics mengandungi tiga komponen utama iaitu Connect, Compete dan Celebration. Techlympics menggalakkan interaksi sesama belia dengan berkongsi aspirasi, solusi, idea dan saranan teknikal untuk merancak minat terhadap STEM. Inisiatif ini juga menganjurkan pelbagai platform untuk warga techlympiad muda bersaing secara sihat dan mengambil peluang mencapai matlamat STEM untuk manfaat manusia sejagat. Bukan itu sahaja, Techlympics menyambut pelbagai idea, solusi dan kemahiran para techlympiad yang pasti akan melakar masa depan negara negara menggunakan STEM.

Idea, inovasi dan kreativiti generasi muda bakal memanfaatkan masa hadapan #KeluargaMalaysia.

Melalui program ini, obor Techlympics turut diperkenalkan sebagai metafora semangat membara Malaysia dalam usaha memperkasa STEM dalam kalangan generasi muda negara. Pelbagai aktiviti telah dirangka dan direka di bawah Techlympics yang berlandaskan bidang keutamaan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) yang dibangunkan pihak MOSTI iaitu Sains, Kejuruteraan Pengkomputeran & Pengkomputeran Mikro, Internet Benda (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Percetakan dan Pembangunan 3D.

Sebagai permulaan, 12 program Techlympics dilaksanakan bermula dari 11 November 2021 hingga 10 Disember 2021 yang melibatkan sembilan bidang pemfokusan. Antaranya adalah program kenderaan masa hadapan, kuiz sains interaktif, ilmu robotik secara dalam talian dan lain-lain lagi. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Techlympics ialah inisiatif yang menyokong para inovator muda melahirkan cetusan idea dan prototaip yang berteraskan teknologi Revolusi Industri 4.0. Tambah beliau, STEM ialah bekalan penting dalam membangunkan bakat yang berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi masa hadapan.

Techlympics berharap untuk mendekati lebih 1,000,000 belia yang melibatkan pelajar dari sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan kumpulan belia bebas. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia yang berusia dalam lingkungan 7 hingga 30 tahun bolehlah melayari laman web www.techlympics.my dan laman Facebook rasmi Malaysia Techlympics untuk menyertai segala aktiviti yang dianjurkan di bawah inisiatif ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.