Oleh Ritah Yahaya
27 Ogos 2021, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Tokyo – Jepun menangguhkan penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna COVID-19 oleh Moderna Inc (MRNA.O) pada 26 Ogos 2021 lebih dari seminggu setelah pengedar domestik menerima laporan pencemaran dalam beberapa botol vaksin tersebut.

Jepun dan Moderna mengatakan tidak ada masalah keselamatan atau keberkesanan yang dikenal pasti dan penangguhan itu hanya sebagai langkah berjaga-jaga. Namun begitu, langkah penangguhan itu mendorong beberapa buah syarikat Jepun membatalkan vaksinasi pekerja yang direncanakan pada 26 Ogos 2021 dan menyebabkan The European Medicines Agency (EMA) melancarkan siasatan mengenai masalah tersebut.

Syarikat farmasi Moderna dan Rovi (ROVI.MC) di Sepanyol yang membungkus vaksin Moderna untuk pasaran selain Amerika Syarikat, mengatakan bahawa pencemaran itu mungkin disebabkan oleh masalah yang timbul pada peringkat pembuatan dan pengeluaran vaksin itu di Rovi.

Keputusan untuk menangguhkan penggunaan Moderna timbul seiring dengan kritikan yang timbul terhadap Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga kerana kempen vaksin yang lambat kepada rakyat Jepun. Jepun memerangi gelombang jangkitan terburuknya, yang dipacu oleh varian Delta dengan jangkitan harian baharu melebihi 25 000 kes pada bulan Ogos ini.

Berdasarkan penjejak vaksin Reuters,  Jepun mencapai inokulasi sebanyak 54% penduduknya yang sudah mendapat sekurang-kurangnya  satu dos vaksin, manakala sebanyak 43% rakyatnya telah divaksin sepenuhnya.

(Sumber: Reuters)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.