Oleh Ritah Yahaya
25 Ogos 2021, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Persepsi umum bahawa tamadun Melayu tidak mempunyai sains dan teknologi sendiri. Etnoteknologi tamadun Melayu didakwa bergantung pada tamadun Islam, Barat, China, Jepun, dan Korea. Benarkah?

Perbincangan menarik untuk merungkaikan dakwaan ini dikupas oleh Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Profesor UKM–Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut sel Fuel, Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Wacana “Kincir Air Malayonesia: Satu Kajian Awal” anjuran bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).

Wacana ATMA yang berlangsung secara maya pada hari ini dirasmikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengarah ATMA yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut Wan Ramli, etnoteknologi merujuk teknologi yang dihasilkan oleh masyarakat sesuatu tamadun. Tamadun Melayu berkembang luas dalam pelbagai bidang, termasuklah etnosains. Satu daripada produk termaju dalam bidang etnosains yang dihasilkan pada zaman kegemilangan tamadun Melayu ialah kincir air.

Kajian etnoteknologi Melayu yang dijalankan oleh ATMA bertujuan menyerlahkan sumbangan sains dan teknologi tamadun Melayu. ASASI yang merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan berperanan mempromosikan kajian sains dan teknologi Melayu Islam untuk menghasilkan sains dan teknologi moden yang berteraskan Islam dan tamadun Melayu.

Skop kajian etnoteknologi Melayu yang dijalankan oleh ATMA dan ASASI bermula dari zaman sebelum pra-Islam hingga kini, termasuklah penglibatan dalam gerakan pengislaman ilmu dan pemeribumian ilmu, khususnya pengislaman Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Wan Ramli menyentuh sejarah kincir air di rantau Melayonesia dengan memerihalkan sejarah istilah “Malayonesia”. Pada tahun 1850, penyelidik George Samuel Windsor Earl dalam Journal of The Indian Archipelago and Eastern Asia, menamakan rantau Malayonesia merujuk kawasan penutur bahasa Melayu polinesia, termasuklah bahasa Melayu di Tanah Melayu, Indonesia, Kemboja dan Vietnam. Istilah ini dipopularkan oleh Profesor Shaharir Mohamad Zain yang digunakan hingga kini.

Penduduk rantau Malayonesia menjadikan pertanian, khususnya penanaman padi beras sebagai kegiatan utama kerana nasi merupakan makanan ruji penduduk di kawasan ini. Oleh itu, bagi memastikan kawasan sawah padi mendapat bekalan air yang mencukupi, penduduk di rantau Malayonesia membina kincir air selain terusan dan empangan.

Etnoteknologi kincir air dalam tamadun Melayu silam turut menghasilkan istilah khusus dalam bahasa Melayu, antaranya termasuklah baling-baling, besut, sumbu, ganda, peraku atau poraku (istilah Minangkabau). Namun begitu, banyak istilah ini pupus bersama-sama kepupusan etnoteknologi Melayu.

Wan Ramli berpandangan bahawa naratif sejarah tamadun Melayu harus diubah melalui kajian, iaitu berdasarkan kajian sejarah ilmu orang Melayu yang bermula sebelum kedatangan Islam. Kesarjanaan Melayu harus dilihat sejak sejarah Melayu dicatatkan dalam bahasa Melayu di atas prasasti huruf Pallava purba yang bercampur dengan bahasa Sanskrit. Hal ini bertujuan melengkapkan pengislaman ilmu dan pemeribumian ilmu, khususnya pengislaman Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Wacana ini boleh diikuti di Facebook Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di sini.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.