Oleh Ritah Yahaya
18 Ogos 2021, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langit pada bulan Ogos 2021 memberikan peluang terbaik kepada kita untuk melihat planet Musytari. Planet ini boleh dilihat dengan menggunakan mata kasar di langit malam yang tidak berawan. Pada bulan ini, Musytari berada dalam kedudukan bertentangan dengan bumi atau dikenali sebagai “istiqbal” (opposition).

Fenomena istiqbal berlaku apabila kedudukan jasad samawi seperti planet dalam sistem suria berada dalam keadaan bertentangan dengan matahari atau berada di sudut longitud samawi bersamaan dengan 180º.  Apabila Musytari mengalami istiqbal, planet ini berada dalam kedudukan yang paling dekat dan bertentangan dengan bumi berbanding dengan kedudukannya yang lain dalam orbit. Bahagian planet yang menerima cahaya matahari menghadap tepat ke arah bumi. Dengan kedudukan sedemikian, kedua-dua buah planet tersebut kelihatan lebih cerah dan lebih besar dari hari lain. Hal ini memberikan peluang terbaik kepada kita untuk melihat planet tersebut.

Musytari pula mengalami istiqbal pada hari Jumaat, 20 Ogos 2021. Pada tarikh tersebut, bumi berada di antara matahari dengan Musytari. Purata jarak Musytari dari matahari ialah 5.2 AU manakala jarak di antara Musytari dengan matahari semasa istiqbal lebih dekat, iaitu 4.01 AU Saiz Musytari semasa istiqbal pada kali ini ialah 48 saat arka.

Semasa istiqbal, bahagian permukaan Musytari yang menerima cahaya matahari menghadap tepat ke arah bumi menyebabkannya kelihatan terang dengan magnitud -2.9. Oleh itu, Musytari kelihatan lebih cerah dan besar daripada hari yang lain pada tarikh istiqbal. Pada bulan Ogos ini, Musytari berada dalam buruj Capricon atau Jadi (dalam bahasa Arab).

Buruj ini terletak di langit hemisfera selatan berdekatan dengan buruj Sagitarius. Buruj Capricon ialah buruj yang kesepuluh daripada 12 buruj zodiak. Zodiak ialah kawasan laluan matahari ketara dalam setahun. Laluan ini terbahagi kepada 12 buah kawasan. Setiap kawasan mengandungi satu buruj.

Pada 20 Ogos 2021, Musytari terbit di ufuk timur pada pukul 7.21 malam waktu tempatan dan transit pada pukul 1.23 pagi. Planet ini mula dapat dilihat apabila berada di altitud 10º dari ufuk pada pukul 8.05 minit malam. Waktu yang paling sesuai untuk melihatnya adalah apabila Musytari berada hampir di tengah langit, iaitu selepas pukul 11.00 malam. Walau bagaimanapun, Musytari boleh dilihat sepanjang malam jika cuaca baik. Musytari akan terbenam di ufuk barat pada pukul 7.22 pagi.

(Sumber: Dr. Kassim Bahali, Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia).

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.