Diterbitkan pada 20 Disember 2022, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hujan lebat berterusan yang berlaku sejak 17 Disember 2022 telah mengakibatkan keadaan banjir yang melanda di kebanyakan negeri sepanjang musim monsun timur laut ini semakin membimbangkan.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hingga jam 4.00 petang semalam, sebanyak lima buah negeri telah dilanda banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor. Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 364 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sebanyak 34 970 mangsa banjir ditempatkan di PPS termasuklah mangsa banjir di Terengganu (243 orang), Kelantan (105 orang), Pahang (11 orang), Johor (tiga orang) dan Perak (dua orang).

Bencana banjir yang semakin teruk ini telah mendorong kepada pembukaan Bilik Gerakan Banjir Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Negeri dan Kebangsaan. Pembukaan Bilik Gerakan Banjir CPRC Kebangsaan telah dibuka sejak semalam yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari, manakala Bilik Gerakan Banjir CPRC Negeri telah dibuka di beberapa buah negeri yang dilanda banjir sahaja mengikut masa operasi tertentu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata, “Dari 11 Disember 2022 hingga 19 Disember 2022, hanya satu kes COVID-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu yang telah tamat menjalani isolasi pada 18 Disember 2022. Hingga kini, tiada kluster COVID-19 yang dilaporkan di PPS.”

Walau bagaimanapun, terdapat penularan penyakit berjangkit telah dikesan dalam kalangan mangsa banjir seperti jangkitan saluran pernafasan akut (301 kes), penyakit kulit (260 kes), gastroenteritis akut (14 kes), konjunktivitis (11 kes) dan cacar air (satu kes). Namun begitu, tiada kes tiroid, kolera, leptospirosis, penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.

Akibat banjir besar yang berlaku di Kelantan dan Terengganu ini telah menyebabkan beberapa buah fasiliti kesihatan di negeri berkenaan terjejas. Di Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab dan Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh telah dimasuki air dan beberapa perkhidmatan telah diberhentikan untuk sementara waktu.

Sementara itu, hospital yang terjejas di Terengganu pula melibatkan empat buah hospital, iaitu Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu. Peningkatan paras air yang mendadak di kawasan yang berhampiran dengan hospital tersebut telah menyebabkan laluan ke hospital dan sekitarnya terputus.

Selain hospital, fasiliti klinik dan pejabat kesihatan daerah di kedua-dua negeri tersebut turut terkesan dengan musibah ini. Oleh yang demikian, pihak yang terlibat telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini, misalnya memindahkan operasi ke fasiliti kesihatan alternatif atau tidak beroperasi bergantung pada keadaan banjir yang dihadapi.

Orang ramai perlu peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan seperti yang telah disarankan oleh KKM bagi mencegah penyakit berjangkit berkaitan dengan banjir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi