Diterbitkan pada 15 Disember 2022, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Saintis Kanan, Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia, YBrs. Dr. Annie Chai Wai Yeeng telah memenangi kategori Next ASEAN Innovator dalam 4th ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2022, baru-baru ini.

The 4th ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2022 ini diadakan untuk menggalakkan pelibatan saintis dan jurutera muda dalam penyelidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta mengiktiraf pencapaian akademik dan profesional para saintis serta jurutera dalam kalangan warganegara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). Program ini dikelokan oleh Kerajaan Republik Korea (ROK) melalui Kementerian Sains dan ICT (MSIT) dengan sokongan Science and Technology Policy Institute (STEPI) dan ASEAN.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kemenangan YBrs. Dr. Annie Chai Wai Yeeng adalah hasil daripada penyelidikannya bagi mengenal pasti gabungan ubat sinergistik dalam model kanser Asia yang unik melalui pengaplikasian pembelajaran mesin (machine learning) untuk kaedah pengiraan dalam ramalan gabungan ubat sinergistik dengan menggunakan gabungan skrin penting CRISPR/Cas9, genomik dan data pemeriksaan ubat, terutamanya berkaitan dengan kanser kepala dan leher yang berasal dari Asia.

Selain itu, beliau turut dianugerahkan hadiah wang tunai berjumlah USD12 000 dan diundang untuk menghadiri Program Latihan STI ASEAN-ROK selama seminggu bermula 27 November 2022 hingga 3 Disember 2022 di Seoul, Republik Korea serta berpeluang membentangkan hasil kerja beliau. Anugerah tersebut telah diserahkan secara rasminya oleh MSIT, ROK dan STEPI pada 1 Disember 2022 yang lalu.

Beliau merupakan penyelidik kedua selepas YBrs. Dr. Nur Hafizah Abd Khalid dari Universiti Teknologi Malaysia yang memenangi kategori yang sama dalam 2nd ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2020.

Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi menyemarakkan lagi minat dalam kalangan institusi penyelidikan dan penyelidik negara untuk berusaha ke arah penyelesaian yang inovatif dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan dengan memanfaatkan STI.

Maklumat lanjut berkenaan dengan hadiah dan para pemenang boleh layari Facebook rasmi ASEAN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi