Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau –“Wanita Malaysia, khususnya di Perlis hendaklah terus bangkit untuk saling melengkapi kaum lelaki dengan berusaha memartabatkan negeri dan negara agar kekal teguh di mata dunia.”
Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ketika merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari dan seluruh jawatankuasa penganjur di atas pelibatan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program Seminar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 15, baru-baru ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mentakrifkan “sihat” sebagai keadaan sempurna fizikal, mental, sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit. Sihat secara fizikal merujuk bebas daripada sebarang penyakit berjangkit atau penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi atau kanser, manakala sihat secara mental pula meliputi aspek pemikiran, emosi, tingkah laku serta mempunyai hubungan yang baik antara seseorang dengan orang lain.
Sementara itu, wanita sangat sinonim dengan keanggunan, bergaya, elok dan menarik kerana sangat mementingkan gaya dan keterampilan yang sempurna. Kecantikan yang merupakan impian bagi setiap wanita pula merangkumi kecantikan secara dalaman dan luaran.
Pada masa yang sama, Tuanku Raja Puan Muda juga berterima kasih kepada ahli panel yang telah berkongsikan ilmu, pengalaman dan pandangan dalam seminar yang bertemakan “Wanita Sihat, Anggun, Berkarisma” anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan kerjasama YTF secara hibrid pada 30 November 2022 yang lalu.
Cabaran lain dalam dunia seorang wanita ialah kosmetik dan kecantikan. Mungkin ramai orang yang tidak mengetahui bahawa sesetengah produk kecantikan boleh mengganggu fungsi hormon semula jadi dan menjejaskan kesihatan dalaman dan luaran.
Majlis perasmian pembukaan seminar tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Auditorium Dr. Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri, Kangar.