Diterbitkan pada 20 Mei 2022, 21:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pengesahan bahawa Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar berjaya dipilih sebagai pusat peperiksaan klinikal yang terakhir untuk menjadi pakar perubatan dalaman pertama di luar Kuala Lumpur telah dibuat oleh tokoh dari Royal College of Physicians Ireland (RCPI), iaitu Ketua Peperiksaan Klinikal Antarabangsa, Profesor Geoff Chadwick dan Pengurus Peperiksaan Antarabangsa, Sinead Freeman semasa melawat ke Perlis bagi melaksanakan proses akreditasi baru-baru ini.

RCPI terkenal pada peringkat antarabangsa dalam memberikan latihan pascasiswazah untuk pegawai perubatan dalam bidang perubatan dalaman. Kelayakan antarabangsa yang berprestij ini diiktiraf di Malaysia sebagai satu daripada peperiksaan dalam program Parallel Pathway.

Demikian dimaklumkan oleh penasihat dan wakil Malaysia untuk RCPI, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi yang telah dianugerahkan Fellowship dengan kelayakan FRCPI dari RCPI dan dilantik sebagai pemeriksa antarabangsa pada tahun 2015. Beliau juga merupakan pengerusi kebangsaan bagi program Parallel Pathway Perubatan Dalaman Malaysia.

Ketika di Perlis, Chadwick dan Freeman mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Bilik Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kunjungan sembah mengadap hormat DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis.

Pengiktirafan Kangar sebagai pusat pemeriksaan untuk peperiksaan klinikal terakhir merupakan kejayaan yang besar bagi negeri Perlis secara khususnya dan di Malaysia amnya. Kini, telah terbukti bahawa dengan kehadiran bakal barisan pemeriksa dan calon dari seluruh negara dan antarabangsa mempamerkan kebolehan HTF untuk menjadi pusat bagi latihan pascasiswazah untuk pakar perubatan.

Menurut Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi, inisiatif ini merupakan hasil daripada visi DYTM Raja Muda Perlis untuk mengharumkan nama negeri Perlis dalam bidang perubatan dan pengajaran. Selain itu, DYTM Raja Muda Perlis juga merupakan sumber inspirasi dalam penubuhan servis Advanced Acute Internal Medicine (AAIM) di Perlis yang telah menjimatkan jutaan ringgit untuk kerajaan serta mewujudkan beberapa perkhidmatan baharu yang amat diperlukan oleh rakyat di Malaysia.

Sementara itu, delegasi dari Dublin itu turut melawat Bangunan Hemodialisis MAIPs di HTF bersama-sama Pengarah HTF, Dr. Mohamad Shafiee Ismail. Kini, bangunan ini dalam persiapan untuk menjalankan peperiksaan yang bakal dianjurkan pada hujung tahun ini. Mereka juga meluangkan masa untuk melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP yang dilengkapi dengan teknologi canggih.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim dan Ketua Jabatan Perubatan Dalaman HTF, Dr. Shafarul Halimi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi