Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia terus memperkukuh pembangunan kebajikan haiwan melalui kerjasama strategik pada peringkat global menerusi penganjuran Forum Kebajikan Haiwan 2026 (Animal Welfare Forum 2026) yang menjadi platform memperkasakan tadbir urus, pembangunan dasar berasaskan sains serta perkongsian amalan terbaik ke arah sistem kebajikan haiwan yang lebih mampan.

Forum anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui Bahagian Regulatori Veterinar dengan kerjasama strategik A World of Good Initiative Inc. yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga 15 Julai menghimpunkan wakil agensi kerajaan, institusi akademik dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran baharu serta pendekatan praktikal untuk meningkatkan standard kebajikan haiwan di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Antara topik yang diketengahkan termasuklah kepentingan tadbir urus kebajikan haiwan yang berkesan, pelaksanaan strategi kebajikan haiwan di rantau Asia Pasifik, konsep One Welfare, kesejahteraan komuniti, cabaran kebajikan haiwan ternakan, kebajikan unggas serta kebajikan dalam sektor akuakultur.

Forum tersebut turut menampilkan barisan penceramah dari dalam dan luar negara, termasuklah pakar dari Australia, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), World Federation for Animals serta institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd. Haron dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kebajikan haiwan bukan lagi isu sampingan, sebaliknya menjadi komponen penting dalam pembangunan masyarakat moden yang berteraskan nilai ihsan, kemampanan dan tanggungjawab bersama.

Katanya,

Pelaksanaan amalan kebajikan haiwan yang baik mempunyai kaitan rapat dengan kesihatan awam, keselamatan dan keterjaminan makanan, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti, selaras dengan pendekatan One Health dan One Welfare yang dipromosikan pada peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, selaras dengan piawaian yang diketengahkan oleh WOAH, kebajikan haiwan yang baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan haiwan, malah menyumbang kepada sistem pengeluaran makanan yang lebih mampan, produktif dan berdaya tahan.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan permintaan yang tinggi terhadap sumber protein berasaskan haiwan, khususnya daging ayam dan daging lembu, namun negara masih bergantung pada sumber import bagi memenuhi sebahagian keperluan bekalan daging lembu.

Pembangunan industri pengeluaran makanan berasaskan haiwan yang mampan, produktif dan berdaya tahan perlu terus diperkukuh melalui pelaksanaan amalan kebajikan haiwan yang baik berasaskan sains.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif A World of Good Initiative Inc., YBrs. Dr. Michelle Sinclair berkata, usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh pelaksanaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 memerlukan pembuat dasar dan pihak berkepentingan sentiasa didedahkan kepada perkembangan terkini serta amalan terbaik kebajikan haiwan pada peringkat global.

Katanya, penyertaan pakar terkemuka dunia dalam forum ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk berkongsikan pengalaman, memperkukuh jaringan kerjasama serta memperoleh input berasaskan sains dan bukti bagi pembangunan dasar serta pelaksanaan kebajikan haiwan.

Ujarnya,

Sejajar dengan aspirasi Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Malaysia 2021–2030, forum ini diharapkan dapat menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam aspek tadbir urus, pematuhan dan pelaksanaan kebajikan haiwan melalui pendekatan sains, inovasi dan kerjasama strategik.

Selain sesi pembentangan, forum ini turut menyediakan ruang perbincangan kumpulan berfokus bagi mengenal pasti jurang pelaksanaan dan merangka penyelesaian kolaboratif berkaitan dengan dasar, penguatkuasaan, kesedaran awam serta pembangunan infrastruktur kebajikan haiwan.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh tadbir urus kebajikan haiwan melalui pembangunan dasar dan amalan berasaskan pembuktian saintifik yang selaras dengan piawaian antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha meletakkan negara sebagai antara peneraju kebajikan haiwan di rantau Asia Tenggara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi