Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengenalpastian awal terhadap individu yang menunjukkan ciri kecelaruan personaliti antisosial atau Antisocial Personality Disorder (ASPD) di sekolah dan dalam komuniti amat penting bagi mencegah risiko jenayah, melindungi keselamatan awam serta memelihara keharmonian masyarakat.
Demikian hal yang ditegaskan oleh Doktor Perubatan dan Konsultan Kesihatan Mental, Healing Centre Dr. Hisham Zakaria, Setia Alam, YBrs. Dr. Faridhil Athrash Sallehan dalam sesi temu bual yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia.
Menurut beliau, ASPD merupakan kecelaruan personaliti yang dicirikan oleh kecenderungan melanggar norma sosial dan undang-undang, menipu, memanipulasi serta tidak mempunyai rasa bersalah dan empati.
Katanya,
ASPD juga sering disalah erti sebagai sikap antisosial yang merujuk individu yang tidak gemar bergaul, namun pada hakikatnya kecelaruan ini merujuk penentangan terhadap norma sosial dan undang-undang.
Tambah beliau, individu yang mengalami ASPD lazimnya menunjukkan pola tingkah laku seperti menipu, memanipulasi, memperlekeh orang lain serta mengulangi kesalahan walaupun pernah dikenakan hukuman yang didorong oleh ketiadaan rasa bersalah, penyesalan dan empati terhadap orang lain.
Beliau menjelaskan bahawa ASPD tergolong dalam Kluster B bagi klasifikasi kecelaruan personaliti bersama-sama kecelaruan personaliti narsisistik.
Istilah psikopat dan “sosiopat” pula bukanlah diagnosis perubatan rasmi, sebaliknya merujuk himpunan ciri yang berkaitan dengan ASPD.
Ujarnya,
Semua psikopat mempunyai ciri narsisistik, namun tidak semua individu narsisistik ialah psikopat.
Mengulas perbezaan antara psikopat dengan “sosiopat”, beliau menyatakan bahawa psikopat lazimnya lebih terancang, mampu menyembunyikan personaliti sebenar serta menyesuaikan diri dalam persekitaran profesional serta hubungan yang dibina juga bersifat dangkal dan hanya bertujuan untuk memperoleh kepentingan tertentu.
Sebaliknya, “sosiopat” lebih bersifat impulsif, mudah bertindak balas secara agresif dan kurang membuat perancangan, termasuklah melakukan keganasan secara spontan.
Beliau berkata, penilaian terhadap ciri psikopati biasanya menggunakan Hare Psychopathy Checklist yang kebanyakannya digunakan dalam konteks forensik seperti penjara atau kes jenayah berat.
Tanda awal pula sering dikesan sebagai gangguan tingkah laku sebelum usia 15 tahun, termasuklah mencuri, membakar harta benda atau menyakiti haiwan.
Jelasnya,
Pemerhatian oleh guru dan ibu bapa terhadap perubahan tingkah laku kanak-kanak amat penting bagi membolehkan intervensi awal dilakukan.
Menurut beliau, kebanyakan individu dengan ASPD tidak menyedari bahawa mereka mempunyai masalah kerana kurang wawasan terhadap keadaan diri sendiri dan menyebabkan mereka cenderung untuk mengulangi kesalahan tanpa rasa bersalah, malah ada yang masih mampu tersenyum ketika dikenakan hukuman.
Jika keadaan ini tidak dirawat, ASPD bukan sahaja menjejaskan kehidupan individu berkenaan, malah boleh mengancam keselamatan awam serta mengganggu keharmonian sosial.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembentukan ASPD dipengaruhi oleh faktor keturunan, persekitaran seperti penderaan, pengabaian, penyalahgunaan dadah dalam keluarga dan pengaruh rakan yang meningkatkan risiko seseorang mengalami kecelaruan tersebut.
Berdasarkan pengalaman klinikalnya, YBrs. Dr. Faridhil Athrash Sallehan menyatakan bahawa kecenderungan awal boleh dikenal pasti melalui corak tingkah laku ganas yang berulang serta minat melampau terhadap keganasan.
Dalam hal ini, beliau menyarankan agar individu yang menunjukkan tanda berkenaan dirujuk kepada doktor atau ahli psikologi bagi menjalani penilaian dan rawatan seperti terapi kognitif tingkah laku bagi membantu membentuk pemahaman tentang sempadan antara tingkah laku yang betul dengan yang salah, selain pemberian ubat-ubatan bagi mengawal agitasi atau agresi dalam kes yang lebih serius.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun individu dengan ASPD mungkin mempunyai kelemahan pada sistem otak yang berkaitan dengan pemprosesan emosi, perubahan masih boleh dicapai sekiranya wujud motivasi untuk mendapatkan rawatan.
Dari sudut pencegahan, masyarakat tidak seharusnya mengabaikan naluri apabila merasakan terdapat tingkah laku yang mencurigakan, namun pada masa yang sama perlu mengelakkan sebarang tuduhan tanpa bukti.
Beliau turut menggalakkan laporan dilakukan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku jenayah seperti buli atau keganasan agar siasatan dan intervensi dapat dilaksanakan bagi memutuskan kitaran keganasan.
Dalam membantu individu yang mempunyai ciri berkaitan dengan ASPD, beliau menyarankan pendekatan yang lebih berhemah dengan membina hubungan dan kepercayaan terlebih dahulu, selain mengelakkan bahasa yang bersifat menghukum.
Katanya,
Pengesanan awal oleh keluarga, guru dan rakan sebaya serta sikap tidak menafikan atau membiarkan tingkah laku berisiko boleh menjadi faktor penting yang mengubah perjalanan hidup seseorang.