Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memperkukuh penyelidikan, meningkatkan kesedaran awam serta memperluas jaringan kerjasama berkaitan dengan demensia di Malaysia diperkasakan menerusi Seminar dan Majlis Pelancaran Laman Web Dementia Research Network anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Hotel Melia Kuala Lumpur.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan yang dibiayai oleh The Academy of Medical Sciences, United Kingdom menerusi kerjasama antara UKM dengan University of Wolverhampton, United Kingdom bagi memperkukuh penyelidikan, meningkatkan kesedaran awam serta memperluas jaringan kerjasama berkaitan dengan demensia di Malaysia.
Seminar yang menghimpunkan penyelidik, ahli profesional kesihatan dan organisasi komuniti itu memberikan tumpuan kepada cabaran semasa dalam diagnosis awal demensia serta usaha memperkukuh sokongan kepada individu yang hidup dengan demensia dan keluarga mereka.
Pengerusi seminar, YBrs. Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam berkata, peningkatan populasi warga emas di Malaysia menuntut kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memperkukuh kesedaran, penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan dengan demensia.
Sementara itu, YBrs. Profesor Madya Dr. Jennifer NW Lim dari University of Wolverhampton pula membentangkan perkembangan projek serta hala tuju Dementia Research Network, di samping menjelaskan bahawa rangkaian tersebut diwujudkan untuk menghubungkan penyelidik, ahli profesional kesihatan, organisasi komuniti dan pembuat dasar dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai demensia.
Menurut beliau, laman web Dementia Research Network dibangunkan sebagai platform perkongsian maklumat, sumber rujukan dan peluang kolaborasi bagi memperkasakan penyelidikan.
Pakar Psikiatri Geriatrik Universiti Malaya, YBrs. Dr. Surina Zaman Huri berkata, diagnosis awal demensia membolehkan pesakit dan keluarga merancang penjagaan dengan lebih baik serta mendapatkan sokongan yang diperlukan pada peringkat awal.
Seminar itu turut menampilkan YBrs. Profesor Madya Dr. Fairuz Ali dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang membincangkan peranan penjagaan primer sebagai barisan hadapan dalam pengesanan dan pengurusan demensia, manakala Pengurus Genting Dementia Care Centre, Encik Mujada Rosli turut berkongsikan kepentingan sokongan holistik kepada individu yang hidup dengan demensia serta penjaga mereka.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Mejar Bersekutu Dr. Shazli Ezzat Haji Ghazali pula menegaskan bahawa demensia bukan lagi isu individu semata-mata kerana penyakit itu memberikan kesan kepada keluarga, penjaga, komuniti dan negara.
Ujarnya,
Intervensi awal, sokongan psikososial serta pendidikan masyarakat perlu diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan individu yang hidup dengan demensia terus terpelihara.
Kemuncak program menyaksikan pelancaran rasmi laman web Dementia Research Network yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Industri dan Jaringan Masyarakat), FSK, UKM, YBhg. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf yang berharap platform tersebut menjadi pusat rujukan nasional bagi menghimpunkan hasil penyelidikan, sumber maklumat dan peluang kolaborasi, sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan demensia serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit itu di Malaysia.
