Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesejahteraan psikologi terus diperkukuh apabila sebanyak 30 orang peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai Kursus Mindfulness Love Therapy (MLT) Tahap 1 di Auditorium Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia sebagai usaha meningkatkan literasi kesihatan mental dan menggalakkan intervensi awal dalam komuniti.
Inisiatif tersebut amat bertepatan dengan peningkatan cabaran kesihatan mental pada peringkat global apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan seorang daripada lapan individu mengalami gangguan mental, manakala Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 melaporkan kira-kira seorang daripada enam orang dewasa di Malaysia mengalami gejala kemurungan.
Kursus yang berlangsung pada 27 Jun 2026 hingga 28 Jun 2026 itu diasaskan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan mengetengahkan pendekatan terapi MLT, iaitu intervensi psikologi yang mengintegrasikan elemen kesedaran diri, kerohanian dan kasih sayang terhadap diri sendiri bagi membentuk kesejahteraan emosi secara menyeluruh.

Bertemakan “Rasai Cinta Tuhan, I Love Myself“, pendekatan tersebut menekankan bahawa proses penyembuhan emosi bermula dengan membina hubungan yang erat dengan Pencipta, menerima kelemahan diri secara realistik serta memaafkan diri sendiri dan orang lain bagi membentuk ketahanan psikologi serta daya tindak yang mampan.
Sepanjang kursus itu berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai teknik utama termasuklah total surrender, teknik pernafasan fitrah, jurnal kesyukuran dan amalan kemaafan terapeutik untuk membantu mereka mengurus emosi dengan lebih berkesan.

Keberkesanan pendekatan itu turut diakui oleh peserta yang mengamalkan teknik pernafasan fitrah secara konsisten apabila melaporkan penurunan ketara dalam gejala kegelisahan, selain peningkatan kualiti tidur yang lebih baik.
Menurut pengasasnya, gabungan psikologi positif dan kerohanian bukan sahaja membantu individu mencapai keseimbangan antara aspek mental, emosi dan kerohanian, malah melahirkan insan yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran serta mampu membina hubungan interpersonal yang sihat dalam masyarakat.
Pada akhir kursus, para peserta yang berjaya menamatkan latihan telah dianugerahi Sijil Kompetensi Mindfulness Love Therapy Tahap 1 sebagai pengiktirafan terhadap penguasaan asas pendekatan MLT serta keupayaan menggunakan teknik yang dipelajari dalam kehidupan seharian sebagai satu bentuk intervensi awal ke arah kesejahteraan psikologi yang menyeluruh.
