Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPahang – Ancaman buli siber yang semakin kompleks dan memberikan kesan jangka masa panjang terhadap emosi, keyakinan diri serta kehidupan sosial mangsa menjadi fokus utama forum “Hentikan Buli Siber” yang menyeru masyarakat memperkukuh literasi digital dan membudayakan penggunaan Internet secara beretika serta bertanggungjawab.
Forum anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Pahang itu diadakan bersempena dengan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Pahang.
Forum yang dipengerusikan oleh Puan Aishah Syakirah Suhaidi itu menampilkan Ketua Pegawai Digital YaPEIM Holdings Sdn. Bhd., Encik Effendy Zulkifly, Eksekutif Kanan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Encik Afiq Zulhilmi Baharudin serta Pengerusi PIBKS Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tuan Haji Mohd Shaffik Kamil.
Sebagai pembuka sesi forum, Puan Aishah Syakirah Suhaidi menyatakan bahawa buli siber bukan lagi isu kecil kerana boleh berlaku menerusi komen, mesej, gambar, video, akaun palsu, penyebaran fitnah dan pelbagai bentuk tekanan digital lain yang semakin sukar dikawal.
Katanya,
Buli pada hari ini tidak lagi terhad kepada ruang fizikal, sebaliknya turut berlaku dalam ruang digital yang lebih kompleks dan berterusan.
Beliau turut menggariskan tiga fokus utama forum, iaitu aspek teknologi dan keselamatan digital, kawal selia kandungan serta kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Mengupas aspek kawal selia kandungan, Encik Afiq Zulhilmi Baharudin berkata, cabaran utama ketika ini adalah memastikan kandungan berunsur buli dapat dipantau dan ditangani dengan lebih berkesan dalam persekitaran digital yang sentiasa berkembang.

Menurut beliau, gangguan dalam talian yang berterusan boleh memberikan kesan serius terhadap kesihatan mental mangsa serta menjejaskan kehidupan sosial mereka jika tidak ditangani dengan segera.
Ujarnya,
Perkara yang berlaku di skrin boleh memberikan kesan sebenar kepada emosi, keyakinan diri dan kehidupan sosial anak-anak.
Tambahnya, kes buli siber kini antara aduan tertinggi yang diterima berbanding dengan bentuk penyalahgunaan kandungan lain di media sosial termasuklah ucapan kebencian, gangguan seksual dalam talian, penyebaran fitnah dan dedah maya.
Sementara itu, Encik Effendy Zulkifly berkata, bentuk buli siber dalam kalangan pelajar semakin pelbagai dan kompleks, selari dengan perkembangan teknologi serta akses tanpa had kepada platform digital.

Beliau menegaskan bahawa literasi digital tidak lagi sekadar merujuk keupayaan menggunakan teknologi, sebaliknya melibatkan kefahaman terhadap risiko, etika dan tanggungjawab dalam ruang siber.
Jelasnya,
Literasi digital bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi memahami risiko di sebaliknya kerana kini teknologi kecerdasan buatan juga boleh disalahgunakan untuk mengubah imej seseorang dan menghasilkan kandungan palsu yang mengaibkan mangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa kelemahan pemantauan ibu bapa serta kurangnya kefahaman terhadap perubahan pantas ekosistem digital menjadi antara cabaran utama yang mempengaruhi cara anak-anak berinteraksi dalam talian.
Dari perspektif pendidikan dan komuniti pula, Tuan Haji Mohd Shaffik Kamil menegaskan PIBG perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh kesedaran keselamatan digital di sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, pendekatan secara bersama antara ibu bapa dengan guru perlu diperkukuh dengan memberikan penekanan kepada penyelesaian secara berhemah tanpa menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku sesuatu insiden.
Beliau berkata, kefahaman terhadap literasi digital dalam kalangan komuniti juga perlu diperkasakan supaya semua pihak lebih bersedia menghadapi cabaran dunia dalam talian yang semakin kompleks.
Dalam aspek penguatkuasaan, pelaksanaan Tribunal Antibuli 2026 dilihat mampu memperkukuh mekanisme penyelesaian kes berkaitan dengan buli termasuklah yang berlaku dalam ruang digital.
Tribunal berkenaan dilaporkan diwujudkan bagi mengendalikan lebih 14 000 kes buli secara berfasa dengan memberikan tumpuan kepada penyelesaian tuntutan, perlindungan mangsa dan tindakan pemulihan terhadap pelaku termasuklah aspek pampasan melalui saluran perundangan tertentu.
Langkah tersebut melengkapkan peranan Polis Diraja Malaysia, MCMC serta badan kawal selia kandungan dalam menangani isu buli siber secara lebih menyeluruh.
Encik Afiq Zulhilmi Baharudin turut mengingatkan bahawa usaha mewujudkan persekitaran digital yang selamat tidak hanya bergantung pada dasar dan institusi semata-mata, sebaliknya bermula dengan kawalan kendiri setiap individu dalam mengurus tingkah laku mereka dalam talian.
Menurut beliau, amalan kawalan kendiri merupakan asas penting dalam membentuk pengguna digital yang lebih bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan risiko terdedah kepada budaya negatif seperti buli siber sejak peringkat awal.
Forum tersebut diakhiri dengan seruan supaya masyarakat meningkatkan literasi digital, memperkukuh kefahaman terhadap risiko keselamatan dalam talian serta membudayakan penggunaan Internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.