Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Lima – Projek pemetaan habitat marin yang dilaksanakan bersempena dengan Hari Lautan Sedunia 2026 di Gugusan Kepulauan Lima, Mersing dijangkakan menyediakan data asas ekologi penting bagi pemantauan perubahan ekosistem marin serta memperkukuh usaha pemuliharaan terumbu karang dan pengurusan kawasan marin secara bersepadu di negara ini.
Ekspedisi penyelidikan marin bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia 2026 yang bertemakan Reimagine: Beyond the World We Know, A New Relationship with Our Ocean itu bertujuan untuk memperkukuh pemahaman saintifik terhadap struktur dan fungsi ekosistem terumbu karang tropika.
Kajian berkenaan merupakan kolaborasi strategik antara Stesen Penyelidikan Marin Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang (UiTMP), Fisheries Research Institute (FRI) Batu Maung dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memfokuskan kepada pemetaan habitat dasar laut serta penilaian biodiversiti terumbu karang dan komuniti ikan karang.
Pendekatan kajian mengintegrasikan tinjauan bawah air secara kuantitatif dan pemerhatian in situ bagi mengenal pasti komposisi spesies, struktur komuniti serta variasi habitat bentik di kawasan kajian.
Data lapangan yang diperoleh dijangkakan menjadi asas rujukan ekologi yang penting untuk pemantauan perubahan ekosistem marin pada masa hadapan.
Ekspedisi tersebut melibatkan 13 orang penyelidik dan pegawai teknikal yang terdiri daripada enam orang penyelidik UiTMP, lima orang penyelidik FRI Batu Maung dan dua orang penyelidik UKM.
Sinergi kepakaran merentas institusi itu turut memperkukuh keupayaan penyelidikan marin negara, khususnya dalam aspek pemetaan habitat dan konservasi biodiversiti laut.
Selaras dengan tema Hari Lautan Sedunia 2026, kajian tersebut menekankan keperluan menilai semula hubungan manusia dengan lautan melalui pendekatan saintifik yang lebih holistik, berasaskan data dan berorientasikan kelestarian.