Diterbitkan pada 9 Jun 2026, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Persatuan Science X-SIS terus memperkukuh usaha memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi menerusi penganjuran Scentational DIY Perfume Competition yang berlangsung di pekarangan Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis.

Program yang disertai seramai 40 orang peserta melibatkan 10 kumpulan itu dirangka sebagai platform pembelajaran tidak formal yang menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan aplikasi sains dalam kehidupan seharian.

Menurut Puan Nur Syafiqah Rahim, Penasihat Persatuan Science X-SIS yang juga Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, program seumpama ini menjadi medium penting dalam memperlihatkan bahawa ilmu sains bukan hanya terbatas di dalam makmal, malah boleh diterjemahkan melalui aktiviti kreatif yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Sains sebenarnya berada di sekeliling kita. Penghasilan minyak wangi misalnya melibatkan pemahaman tentang bahan kimia, komposisi aroma, keseimbangan campuran dan sifat sesuatu bahan. Melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat melihat cara teori sains diaplikasikan dalam menghasilkan sesuatu produk yang bernilai,” katanya.

Para peserta menghasilkan formulasi wangian dengan menggunakan elemen kreativiti.

Beliau berkata, pendekatan pembelajaran secara amali mampu meningkatkan keyakinan pelajar untuk meneroka bidang sains dan teknologi dengan lebih mendalam.

Kemenjadian graduan bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keupayaan mereka berfikir secara kreatif, bekerjasama dalam pasukan, menyelesaikan masalah dan menghasilkan inovasi. Elemen ini dapat dipupuk melalui aktiviti seperti pertandingan ini,” tambahnya.

Program tersebut merangkumi aktiviti menghasilkan minyak wangi yang memberikan peluang kepada peserta memformulasikan wangian sendiri sebelum membentangkan hasil kreativiti masing-masing kepada panel juri untuk dinilai berdasarkan kriteria utama termasuklah kualiti aroma, keseimbangan nota wangian, kreativiti dan persembahan.

Puan Nur Syafiqah turut menambah bahawa aktiviti kokurikulum berasaskan sains dapat membantu pelajar membina kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia pekerjaan yang semakin dipacu oleh teknologi dan inovasi.

Dunia masa ini memerlukan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu, tetapi mampu mencipta, berkomunikasi dan bekerja secara kolaboratif. Program seperti ini memberikan ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran tersebut dalam suasana yang menyeronokkan,” ujar beliau.

Beliau juga berkata penganjuran program ini mencetus minat mahasiswa dalam bidang STEM dan menyokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dalam menambah graduan bidang ini.

Program ini mencetuskan minat mahasiswa untuk mengenali bidang sains dengan lebih mendalam, lebih-lebih lagi dalam bidang kimia dan biologi seterusnya menambah bilangan graduan dalam bidang STEM,” katanya.

Kumpulan 4 dinobatkan sebagai juara pertandingan.

Penganjuran Scentational DIY Perfume Competition membuktikan komitmen Persatuan Science X-SIS dalam memperkasakan budaya pembelajaran berasaskan pengalaman serta melahirkan generasi pelajar yang kreatif, inovatif dan mempunyai kecenderungan terhadap bidang sains dan teknologi.

Kredit Foto: Persatuan Science X-SIS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi