Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNangka (Artocarpus heterophyllus) bukan sekadar buah tropika yang menghiasi dusun kecil di Malaysia. Dahulunya, nangka dianggap sekadar tanaman sampingan di halaman rumah, namun kini nangka mula dilihat sebagai komoditi bernilai tinggi yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan kelestarian pertanian negara. Industri buah tropika ini tidak lagi terhad kepada keperluan sara diri, sebaliknya telah berkembang ke arah pengeluaran komersial yang dinamik bagi menembusi pasaran eksport. Yang menariknya, meskipun amalan penanaman nangka di lapangan masih banyak mengekalkan amalan tradisi dan belum beralih sepenuhnya kepada automasi moden, pengeluaran nangka terus mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa. Fenomena ini didorong oleh peralihan fungsinya dalam rantaian bekalan makanan. Pembangunan produk hiliran seperti kerepek, jus dan puri telah mentransformasikan nangka daripada sekadar ramuan hidangan tradisi seperti pengat atau gulai lemak kepada produk industri yang kompetitif.
Sains kini meletakkan nangka sebagai alternatif utama bagi protein berasaskan tumbuhan (plant-based protein). Tekstur isinya yang berserat menjadikan nangka bahan pengganti daging hingga mendapat sambutan meluas dalam kalangan komuniti vegan dan vegetarian dunia. Pasaran buah nangka telah membuka peluang perdagangan antarabangsa apabila teknologi memanjangkan jangka hayat nangka menerusi rawatan salutan dan teknik pembekuan sejuk beku kriogenik berjaya dibangunkan. Teknologi lepas tuai atau postharvest technology ini membolehkan nangka Malaysia merentasi sempadan antarabangsa dengan kualiti yang tetap terpelihara.
Industri buah-buahan memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan pertanian negara. Bagi menyokong pembangunan industri buah-buahan negara secara mampan, kerajaan telah merangka strategi utama menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), 2021-2030.

Berdasarkan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia (2024), penanaman nangka di Malaysia menunjukkan peningkatan dengan nilai pengeluaran nangka sebanyak RM61.06 juta pada tahun 2019, meningkat kepada RM102.95 juta pada tahun 2024. Dalam tempoh lima tahun, nilai industri nangka telah meningkat sebanyak 68.6 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa nangka bukan lagi sekadar “buah kampung”, tetapi telah berubah menjadi komoditi bernilai tinggi yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi pertanian negara. Walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2022, trend pengeluaran keseluruhannya menunjukkan pertumbuhan yang kukuh. Pengeluaran meningkat daripada 31 281 tan metrik (mt) pada tahun 2019 kepada 44 955 mt pada tahun 2024. Peningkatan pengeluaran sebanyak 43.7 peratus (%) dalam tempoh ini membuktikan permintaan pasaran domestik dan eksport yang semakin berkembang.

Tanaman nangka semakin mendapat perhatian sebagai satu daripada buah tropika yang berpotensi besar untuk dikomersialkan. Selain permintaan pasaran yang stabil, nangka juga mempunyai kelebihan dari sudut hasil dan pulangan ekonomi, terutamanya apabila diusahakan secara terancang dan berskala sesuai.
| Skala Ladang | Keuntungan Bersih (RM/musim) | Margin Keuntungan (%) |
| ≤ 1 ha | 37,249 | 55.18 |
| 1–4 ha | 77,262 | 57.23 |
| 4–10 ha | 175,333 | 64.94 |
| >10 ha | 427,524 | 63.34 |
Analisis kos pengeluaran menunjukkan bahawa tanaman nangka berpotensi tinggi untuk diusahakan secara komersial di semua skala ladang. Dengan anggaran purata hasil sebanyak 18 biji (15 kg per biji) per pokok per satu musim, diunjurkan purata hasil sebanyak 270 kg sepokok dengan harga ladang RM2.50 sekilogram, pengusaha bukan sahaja dapat menampung kos pengeluaran semusim, malah memperoleh margin keuntungan yang tinggi. Purata margin keuntungan tanaman ini meningkat selari dengan saiz ladang, mencerminkan kecekapan kos dan ekonomi skala. Jadual 1 menunjukkan hubungan positif antara skala ladang dengan prestasi kewangan, iaitu peningkatan keluasan ladang meningkatkan keuntungan bersih serta margin keuntungan, dengan prestasi optimum dicapai oleh ladang berskala 4–10 hektar. Dapatan ini mengesahkan bahawa tanaman nangka bukan sahaja berdaya maju dari sudut ekonomi, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan yang stabil dan mampan kepada petani, selaras dengan usaha untuk memperkukuh industri buah tropika negara.
Namun demikian, buah nangka juga berhadapan dengan satu daripada cabaran pasaran, iaitu jangka hayat simpanannya yang pendek. Bagi menanganinya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memfokuskan dua pendekatan teknologi utama, iaitu teknologi penyimpanan pada suhu sejuk suboptimal dan teknologi sejuk beku kriogenik. Teknologi ini bertujuan untuk memastikan buah nangka, khususnya varieti J33 atau Nangka Madu (Tekam Yellow) dapat menembusi pasaran global dalam keadaan kualiti yang optimum. Varieti J33 menjadi pilihan utama eksport berikutan profil organoleptiknya yang unggul, iaitu rasa yang sangat manis serta tekstur isi yang rangup dan pejal. Teknologi penyimpanan pada suhu sejuk suboptimal direkayasa khusus untuk membolehkan pengeksportan nangka segar dengan tempoh pengedaran sehingga tiga minggu. Antara kelebihan utama teknologi ini termasuklah keupayaannya mengelakkan kecederaan kedinginan (chilling injury) serta menghalang serangan kulat Lasiodiplodia theobromae yang sering menjejaskan kualiti kulit dan isi buah.
Selain itu, aplikasi suhu ini juga berfungsi sebagai protokol kuarantin semula jadi yang amat berkesan apabila mencatatkan kadar kematian 100% terhadap lalat buah (Bactrocera dorsalis) dalam tempoh 14 hari simpanan, sekali gus menjamin keselamatan biosekuriti di negara pengimport. Bagi pasaran jarak jauh yang memerlukan tempoh logistik yang lebih lama, MARDI memperkenalkan pula teknologi sejuk beku kriogenik. Melalui kaedah ini, nangka diproses dalam bentuk ulas dan dibekukan secara pantas pada suhu ekstrem untuk mencapai ketahanan jangka masa panjang yang membolehkan jangka hayatnya mencapai tempoh sehingga enam bulan atau lebih. Keunggulan proses kriogenik ini terletak pada kemampuannya memastikan struktur buah tidak rosak, sekali gus mengekalkan rasa, aroma dan tekstur asal nangka apabila dinyahbeku. Kelebihan ini menjadikan teknologi tersebut sebagai penyelesaian terbaik bagi menembusi pasaran premium di benua yang lebih jauh tanpa menjejaskan kualiti organoleptik buah sepanjang proses pengedaran.

Secara keseluruhannya, industri nangka di Malaysia kini berkembang daripada sekadar tanaman sampingan kepada tanaman komoditi bernilai tinggi hingga mencecah pendapatan sebanyak RM100 juta. Meskipun masih mengekalkan kaedah tradisi dalam amalan penanamannya, industri ini masih berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa melalui penyelidikan sains dan teknologi selepas tuai. Fokus utama diberikan kepada penggunaan varieti J33 serta aplikasi teknologi penyimpanan suhu sejuk suboptimal dan penyejukbekuan kriogenik berjaya mengatasi kekangan jangka hayat buah, malah membolehkan nangka Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. Sinergi antara warisan tradisi dengan kecanggihan teknologi ini menjadi pemacu utama dalam memastikan kelestarian ekonomi dan sekuriti makanan negara.