Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Pepatung bukan sahaja berperanan sebagai pemangsa semula jadi yang membantu mengawal populasi nyamuk, malah diiktiraf sebagai penunjuk biologi penting bagi menilai kesihatan ekosistem serta kualiti air.
Demikian perkara yang dikongsikan oleh Pakar Odonata Malaysia, YBrs. Dr. Choong Chee Yen ketika ditemu bual oleh penulis di Kolam Rekreasi Taman Tropicana, Kajang bersempena dengan Sambutan Hari Serangga Sedunia 2026.

Menurut beliau, pepatung merupakan serangga akuatik air tawar yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan alam semula jadi kerana larvanya hidup di dalam air yang bersih, beroksigen tinggi dan bebas daripada bahan toksik, manakala peringkat dewasanya hidup di daratan.
Beliau juga berkata, kehadiran pelbagai spesies pepatung di sesuatu kawasan sering menunjukkan ekosistem akuatik masih berada dalam keadaan baik dan mampu menyokong biodiversiti yang tinggi, manakala kemerosotan populasinya boleh menjadi petunjuk awal kepada gangguan habitat atau pencemaran alam sekitar.
Ujarnya,
Pepatung lazimnya ditemukan di habitat seperti kolam, parit, sawah padi, tasik, kawasan paya dan sungai yang menyediakan sumber air yang sesuai untuk melengkapkan kitaran hidupnya.
Pepatung dewasa mampu memakan ratusan ekor nyamuk dan agas dalam tempoh sehari, sekali gus menjadikannya agen kawalan biologi semula jadi yang berkesan tanpa memerlukan penggunaan bahan kimia secara berlebihan.
Katanya,
Pepatung merupakan pemangsa kepada pelbagai serangga lain, khususnya nyamuk. Cara pemakanan ini membolehkan pepatung mengawal populasi serangga tertentu dalam ekosistem secara semula jadi.
Beliau turut menjelaskan bahawa peringkat larva pepatung boleh hidup di dalam air selama beberapa minggu hingga beberapa bulan bergantung pada spesies sebelum muncul sebagai serangga dewasa, namun habitat pembiakan pepatung semakin terancam akibat penambakan tanah lembap dan pencemaran sisa domestik yang menjejaskan kualiti persekitaran air tawar.
Malaysia pula merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian pepatung apabila lebih 420 spesies pepatung dan pepatung jarum telah direkodkan setakat ini, dengan kira-kira 250 spesies ditemukan di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya terdapat di Sabah dan Sarawak.
Sepanjang kerjaya penyelidikannya, YBrs. Dr. Choong Chee Yen telah menemukan 10 spesies baharu pepatung di Malaysia, termasuklah Chalybeothemis chini daripada keluarga Libellulidae yang ditemukan di Tasik Chini, Pahang pada tahun 2007.

Katanya, penemuan tersebut bukan sahaja memperkaya rekod biodiversiti negara, malah membuktikan bahawa masih banyak khazanah alam yang belum diterokai sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa negara telah mengiktiraf peranan pepatung sebagai agen kawalan biologi semula jadi, termasuklah Myanmar yang memperkenalkan larva pepatung ke dalam tangki air di kawasan kampung bagi membantu mengawal populasi nyamuk dan mengurangkan risiko penyakit bawaan vektor seperti malaria dan denggi.
Bersempena dengan Hari Serangga Sedunia yang disambut pada 8 Jun 2026 dengan tema “Berdiri Teguh untuk yang Kecil”, beliau menyeru agar masyarakat terus memelihara habitat air tawar seperti sungai, kolam, paya dan kawasan sawah bagi memastikan kelangsungan pepatung serta keseimbangan ekosistem.
Beliau menegaskan bahawa musuh sebenar bukanlah pepatung yang berlegar di sawah, kupu-kupu yang hinggap di taman atau lebah yang sibuk di kebun, sebaliknya kejahilan dan tindakan melulu yang memusnahkan serangga yang memberikan manfaat kepada ekosistem.
“Jika habitat air tawar terus dipelihara, pepatung akan terus memainkan peranannya sebagai pemangsa semula jadi dan penunjuk kesihatan alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya lagi.