Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang semakin meluas bukan sahaja mengubah cara masyarakat berkomunikasi, malah turut mewujudkan risiko baharu apabila emosi pengguna dieksploitasi oleh penjenayah siber untuk tujuan penipuan dan manipulasi.

Perkara itu dibincangkan dalam Forum Pengguna Bijak: Memahami Keresahan Digital anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Forum itu dianjurkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang semalam.

Moderator forum, Puan Mawar Abdul Latif, berkata kebimbangan terhadap penggunaan platform AI semakin meningkat apabila terdapat pengguna yang mula menjadikan teknologi tersebut sebagai tempat meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan emosi.

Menurut beliau, di beberapa negara luar telah dilaporkan kes individu menjalinkan hubungan romantik dengan platform AI sehingga menimbulkan persoalan tentang kesan psikologi dan keselamatan pengguna pada era digital.

“Platform AI bukan sahaja memproses data, malah mengenali pengguna melalui soalan, emosi dan maklumat peribadi yang dikongsikan. Ada pengguna yang merasakan AI lebih memahami mereka berbanding dengan ahli keluarga sendiri,” katanya.

Mengulas perkara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Hartanah JSJK Bukit Aman, YBrs.  Superintenden Nur Asrul Arif menjelaskan bahawa emosi manusia merupakan elemen utama yang dimanipulasi dalam kebanyakan kes jenayah siber.

Beliau berkata, sindiket penipuan akan mengkaji latar belakang dan kelemahan mangsa sebelum melaksanakan taktik kejuruteraan sosial (social engineering) bagi mendapatkan wang atau maklumat peribadi.

Menurutnya, dalam kes penipuan cinta (love scam), penjenayah biasanya meneliti profil mangsa terlebih dahulu untuk mengenal pasti keperluan emosi dan psikologi mereka.

“Penjenayah akan membina hubungan secara perlahan-lahan sehingga mangsa merasakan individu tersebut mampu melengkapkan hidup mereka. Apabila kepercayaan sudah terbina, mangsa lebih mudah dipengaruhi untuk menyerahkan wang atau maklumat penting,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran melalui taktik pemerasan seksual (sextortion).

Katanya, mangsa sering diperdaya untuk berkomunikasi melalui panggilan video sebelum rakaman tersebut digunakan untuk tujuan ugutan dan pemerasan.

“Penjenayah menggunakan maklumat yang dikongsi dalam media sosial untuk mengenal pasti minat, pekerjaan dan keadaan peribadi mangsa. Semua maklumat itu kemudian digunakan untuk memanipulasi emosi mereka,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan penipuan dalam talian berpaksikan tiga faktor utama, iaitu cinta, ketamakan dan ketakutan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, YBrs. Dr. Shifa Faizal berkata, individu yang berpendidikan tinggi juga boleh menjadi mangsa penipuan kerana kelemahan utama manusia bukan terletak pada tahap pendidikan, sebaliknya pada keadaan emosi ketika membuat keputusan.

“Manusia berada dalam keadaan paling lemah apabila sedang marah, panik, takut atau bercinta. Ketika itu, kemampuan untuk berfikir secara rasional menjadi terbatas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penjenayah sering menggunakan unsur kepantasan dan desakan bagi menghalang mangsa daripada berfikir secara kritikal.

Menurutnya, pengguna perlu mempercayai naluri dan berwaspada apabila menerima perhatian luar biasa daripada individu yang tidak dikenali menerusi media sosial.

“Apabila seseorang tiba-tiba mahu berkawan, sering menghubungi atau meminta bantuan kewangan walaupun tidak pernah berjumpa secara bersemuka, pengguna perlu menilai situasi tersebut secara rasional dan bukan berdasarkan emosi,” katanya.

Dr. Shifa turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak kerana mangsa pemerasan siber atau penipuan dalam talian sering menunjukkan tanda-tanda seperti menjadi pendiam, murung atau kerap meminta wang tanpa alasan yang jelas.

Beliau berkata, komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak penting bagi membolehkan masalah dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi lebih serius.

Pada masa yang sama, Presiden MCCA, Encik Mohamad Sirajudin Jalil, menegaskan bahawa kesan jenayah siber bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi mangsa.

Menurut beliau, kerajaan kini memberikan perhatian kepada aspek psikososial dalam usaha menangani impak jenayah siber menerusi pelaksanaan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025–2030.

Katanya, strategi tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk institusi agama, badan kaunseling dan sektor pendidikan bagi membantu mangsa mendapatkan sokongan yang diperlukan.

“Apabila seseorang menjadi mangsa jenayah siber, perkara pertama yang terkesan ialah emosi mereka. Dalam sesetengah kes, tekanan yang dialami boleh membawa kepada kesan psikologi yang serius,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ancaman digital hari ini semakin kompleks sehingga pengguna bukan sahaja berisiko kehilangan wang, malah boleh terperangkap sebagai keldai akaun atau menerima wang hasil aktiviti jenayah tanpa disedari.

Pada sesi penutup, para panel menekankan kepentingan kawalan emosi sebagai benteng utama menghadapi ancaman digital.

Dr. Shifa menasihatkan orang ramai supaya menilai keadaan emosi masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan dalam talian.

“Jika anda berasa terlalu panik, terlalu takut, terlalu sedih atau terlalu teruja, berhenti seketika dan fikir secara rasional kerana keadaan emosi seperti itulah yang sering dimanipulasi oleh penjenayah,” katanya.

Sementara itu, Superintenden Nur Asrul mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian penting 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi meningkatkan peluang menyekat aliran wang kepada sindiket.

Mohamad Sirajudin pula merumuskan bahawa masyarakat perlu berpegang kepada tiga prinsip utama dalam mendepani cabaran digital kini, iaitu ilmu, iman dan amal.

“Keselamatan siber bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Semua pihak perlu terus menimba ilmu dan meningkatkan kesedaran supaya mampu melindungi diri serta keluarga daripada ancaman digital yang semakin berkembang,” katanya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi