Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Isu jenayah siber, kebocoran data peribadi dan ketagihan terhadap media sosial menjadi antara fokus utama dalam Forum Pengguna Bijak: Memahami Keresahan Digital yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, petang semalam.
Forum yang berlangsung bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur itu menampilkan panel yang terdiri daripada Ketua Unit Siasatan Jenayah Hartanah JSJK Bukit Aman, Superintenden Nur Asrul Arif, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, YBrs. Dr. Shifa Faizal serta Presiden MCCA, Encik Mohamad Sirajudin Jalil. Forum dikendalikan oleh Pengurus Kanan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Puan Mawar Abd Latif.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Superintenden Nur Asrul berkata bahawa landskap jenayah telah berubah dengan ketara sejak pandemik COVID-19 apabila semakin ramai pengguna bergantung pada teknologi digital dalam urusan harian.
Menurut beliau, statistik PDRM menunjukkan sebanyak 35 368 kes jenayah komersil direkodkan pada tahun 2024, meningkat kepada 66 204 kes pada tahun 2025, manakala sehingga Mei 2026 sebanyak 29 434 kes telah dilaporkan.

“Dahulu masyarakat bimbang terhadap jenayah konvensional seperti pecah rumah dan rompakan, tetapi hari ini penjenayah boleh beroperasi dari mana-mana lokasi dan memperdaya mangsa melalui telefon pintar serta platform digital,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa antara jenayah yang paling banyak dilaporkan ialah panggilan penyamaran, jenayah e-kewangan, penipuan pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, penipuan e-dagang dan penipuan cinta (love scam).
Katanya lagi, jumlah kerugian yang direkodkan akibat jenayah komersial juga amat membimbangkan, iaitu RM1.5 bilion pada tahun 2024 dan meningkat kepada RM2.9 bilion pada tahun 2025.
Sementara itu, Dr. Shifa menjelaskan bahawa keresahan digital bukan sahaja berpunca daripada ancaman sebenar seperti penipuan dalam talian dan buli siber, malah turut dipengaruhi oleh cara algoritma media sosial berfungsi.
Menurut beliau, platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok cenderung memaparkan kandungan yang sama secara berulang berdasarkan minat pengguna sehingga mewujudkan fenomena yang dikenali sebagai tatal lara (doom scrolling).

“Semakin banyak kita melihat sesuatu kandungan, semakin banyak kandungan yang serupa akan dipaparkan. Akhirnya, pengguna terperangkap dalam satu gelembung maklumat yang boleh mempengaruhi persepsi dan emosi mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengguna perlu memahami cara platform digital beroperasi supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum tentu sahih atau terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan.
Dalam pada itu, Mohamad Sirajudin menegaskan bahawa satu daripada punca utama masyarakat terdedah kepada risiko digital ialah ketiadaan pendidikan formal berkaitan dengan penggunaan teknologi.
Katanya, ramai pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa belajar menggunakan media sosial dan aplikasi digital secara sendiri tanpa bimbingan yang tersusun.

“Kita membuka akaun media sosial, menggunakan e-mel dan pelbagai aplikasi tanpa pernah benar-benar diajar tentang risiko serta keselamatan digital. Keadaan ini menyebabkan ramai beranggapan mereka sudah cukup mahir untuk melindungi diri dan keluarga sedangkan hakikatnya tidak,” katanya.
Beliau menambah bahawa keresahan digital sebenarnya lahir apabila seseorang mempunyai pengetahuan tentang ancaman yang wujud dalam persekitaran digital.
Forum turut membincangkan isu privasi data dan jejak digital yang semakin menjadi perhatian masyarakat.
Dr. Shifa menjelaskan bahawa generasi muda yang lahir pada era digital atau digital native menganggap perkongsian kehidupan peribadi dalam media sosial sebagai perkara biasa.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pengguna perlu menetapkan sempadan yang jelas sebelum berkongsi maklumat dalam talian kerana setiap maklumat yang didedahkan boleh dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kadangkala kita memuat naik gambar anak di sekolah atau berkongsi lokasi tanpa menyedari maklumat penting seperti nama sekolah, alamat atau rutin harian turut terdedah,” katanya.
Mengulas isu yang sama, Superintenden Nur Asrul berkata, kebocoran data peribadi boleh menjadi sumber utama kepada pelbagai bentuk jenayah komersial.
Menurut beliau, penjenayah bukan sahaja memperoleh data melalui pencerobohan sistem pangkalan data, malah menggunakan maklumat yang dikongsi secara terbuka dalam media sosial untuk membina profil mangsa.
“Maklumat seperti tarikh lahir, status pekerjaan, lokasi dan ahli keluarga boleh digunakan untuk memperdaya mangsa melalui pelbagai modus operandi seperti pelaburan palsu, penipuan cinta dan panggilan penyamaran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan yang kini boleh dimanipulasikan untuk menghasilkan kandungan palsu termasuk imej dan video yang berpotensi digunakan dalam kes pemerasan siber.
Sementara itu, Mohamad Sirajudin menegaskan bahawa data paling bernilai pada masa ini merangkumi tingkah laku, minat dan kecenderungan pengguna dalam media sosial, dan tidak terhad kepada nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
Menurut beliau, maklumat tersebut boleh digunakan untuk membentuk profil digital yang sangat terperinci dan seterusnya dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Forum tersebut diakhiri dengan seruan kepada masyarakat supaya meningkatkan literasi digital, mengamalkan perkongsian maklumat secara berhemah serta sentiasa berwaspada terhadap ancaman siber yang semakin kompleks pada era digital kini.
Dalam majlis yang sama, DBP turut memperkenalkan majalah Dewan Masyarakat edisi Jun 2026 yang memuatkan artikel khas bertajuk “Jenayah Penipuan: Ancaman yang Semakin Membimbangkan” serta mempromosikan beberapa buku berkaitan dengan teknologi maklumat dan literasi digital bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
