Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menganjurkan forum bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2026 di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kangar bagi memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan hutan dan alam sekitar berlandaskan tuntutan agama serta tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, diiringi anakanda puteri kedua baginda berdua, Yang Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menghadiri forum tersebut.
Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis dan ahli keluarga disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni bersama-sama para pegawai kanan jabatan.

Penganjuran forum itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk mendidik serta menyemai kefahaman masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara khazanah alam semula jadi, khususnya kawasan hutan yang menjadi sumber kehidupan dan penampan ekosistem negara.
Forum yang bertemakan “Amanah Hijau: Perhutanan dan Tanggungjawab Khalifah” itu dikendalikan oleh Guru Takmir Jabatan Agama Islam Perlis, Encik Mohd Shafiy Zakaria selaku moderator.
Dua orang ahli panel yang diundang ialah YBrs. Profesor Dr. Mohd Hasmadi Ismail dari Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia serta Ketua Penolong Pengarah merangkap Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Encik Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Perbincangan forum mengupas hubungan erat antara pemeliharaan alam sekitar dengan tuntutan Islam yang menuntut manusia memikul amanah menjaga bumi, termasuklah melindungi hutan, memulihara biodiversiti dan mengurus sumber asli secara lestari demi kesejahteraan generasi kini serta akan datang.
Program tersebut turut menjadi medan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting hutan dalam mengekalkan keseimbangan ekologi, mengurangkan kesan perubahan iklim dan menjamin kelangsungan sumber semula jadi negara.
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis berharap penganjuran forum seumpama itu dapat terus memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam membudayakan pemeliharaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama yang selari dengan tuntutan agama serta aspirasi pembangunan mampan negara.