Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap tahun pada tanggal 5 Jun, masyarakat di seluruh dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai hari khas yang memfokuskan isu penjagaan bumi dan kelestarian alam. Pada pandangan sesetengah orang, sambutan ini mungkin kelihatan seperti sekadar kempen tahunan yang dipenuhi dengan aktiviti penanaman pokok atau program gotong-royong. Namun demikian, di sebalik sambutan tersebut, Hari Alam Sekitar Sedunia sebenarnya mempunyai sejarah yang besar serta membawa mesej penting tentang hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Hari Alam Sekitar Sedunia diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1972 semasa berlangsungnya Persidangan Alam Sekitar Manusia di Stockholm, Sweden. Persidangan itu menjadi titik penting dalam sejarah dunia kerana buat pertama kalinya isu alam sekitar dibincangkan secara serius pada peringkat antarabangsa. Hasil daripada persidangan tersebut, 5 Jun dipilih sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia dan sambutan rasminya mula diadakan pada tahun 1973. Tujuan utama sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan tindakan kolektif bagi menangani pelbagai krisis alam yang semakin membimbangkan.

Bagi sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun 2026, Azerbaijan dipilih sebagai negara tuan rumah rasmi dengan acara utama berlangsung di bandar Baku pada 5 Jun 2026. Sambutan kali ini memfokuskan isu perubahan iklim melalui tema tindakan iklim atau climate action. Azerbaijan turut menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian alam dengan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin, selain memperkenalkan bandar rendah karbon, pengangkutan mesra alam serta kawasan sifar pelepasan karbon. Negara itu juga aktif dalam agenda perubahan iklim global selepas menjadi tuan rumah COP29 dan melaksanakan pelbagai dasar alam sekitar termasuk pengurangan penggunaan plastik sekali guna. Melalui slogan “Inspired by Nature. For Climate. For Our Future”, sambutan tahun ini membawa mesej bahawa alam semula jadi memainkan peranan penting dalam melindungi masa hadapan manusia dan membantu dunia menghadapi krisis iklim secara bersama-sama.

Malahan, sejak diperkenalkan lebih lima dekad lalu, sambutan ini berkembang menjadi satu daripada kempen alam sekitar terbesar di dunia. Setiap tahun, sebuah negara akan dipilih sebagai tuan rumah utama sambutan global dengan tema yang berbeza-beza seperti perubahan iklim, pencemaran plastik, pemulihan ekosistem dan pemeliharaan biodiversiti. Tema ini dipilih berdasarkan cabaran semasa yang sedang dihadapi dunia. Hal ini menunjukkan bahawa isu alam sekitar bukan lagi masalah kecil atau isu sampingan, tetapi satu perkara yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan manusia sejagat. Dalam konteks dunia hari ini, kepentingan Hari Alam Sekitar Sedunia menjadi semakin jelas. Perubahan iklim, misalnya telah menyebabkan suhu bumi meningkat, ais di kutub mencair dan cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap. Terdapat negara yang berhadapan dengan banjir besar, manakala ada pula yang mengalami kemarau panjang dan gelombang haba melampau. Keadaan ini bukan lagi sekadar ramalan saintis, tetapi realiti yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Selain perubahan iklim, pencemaran plastik turut menjadi ancaman besar kepada alam sekitar. Setiap tahun, berjuta-juta tan plastik dibuang ke laut dan sungai sehingga menjejaskan hidupan marin. Penyu, ikan dan burung laut menjadi antara mangsa utama akibat sisa plastik yang dibuang secara tidak bertanggungjawab. Oleh sebab itu, Hari Alam Sekitar Sedunia sering dijadikan platform untuk memberikan kesedaran supaya masyarakat mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta mengamalkan budaya kitar semula.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam memberikan komitmen terhadap agenda alam sekitar global. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan hutan hujan tropika dan biodiversiti, Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha pemeliharaan alam di rantau Asia Tenggara. Pelbagai program seperti kempen penanaman pokok, pengurangan penggunaan plastik dan usaha memelihara hutan simpan dijalankan oleh kerajaan serta organisasi bukan kerajaan. Malaysia turut terlibat dalam pelbagai persidangan antarabangsa berkaitan dengan perubahan iklim dan pembangunan lestari bersama dengan negara lain.

Selain usaha kerajaan, pelibatan masyarakat Malaysia juga semakin memberangsangkan. Generasi muda kini lebih aktif menyuarakan isu alam sekitar melalui media sosial, program sukarelawan dan kempen kesedaran awam. Banyak sekolah serta universiti turut menjadikan elemen kelestarian sebagai sebahagian daripada pendidikan. Kesedaran seperti ini penting kerana masa hadapan alam sekitar bergantung pada tindakan generasi hari ini. Apabila membincangkan tentang perjuangan alam sekitar pada peringkat dunia, terdapat beberapa tokoh dan ikon penting yang sering dikaitkan dengan usaha mempertahankan bumi. Antaranya termasuklah Greta Thunberg, seorang aktivis muda dari Sweden yang berjaya menarik perhatian dunia melalui gerakan kesedaran perubahan iklim dalam kalangan anak muda. Walaupun masih muda, beliau menjadi simbol bahawa suara generasi muda mampu memberikan impak besar terhadap isu global. Selain itu, tokoh seperti David Attenborough juga memainkan peranan penting melalui dokumentari alam semula jadi yang membuka mata masyarakat tentang keindahan dan kerosakan bumi akibat aktiviti manusia.

Di Malaysia sendiri, banyak aktivis dan pencinta alam yang berusaha mempertahankan khazanah semula jadi negara. Walaupun mungkin tidak sepopular tokoh antarabangsa, usaha mereka dalam memperjuangkan pemuliharaan hutan, sungai dan hidupan liar tetap memberikan kesan besar kepada masyarakat setempat. Hal ini membuktikan bahawa perjuangan menjaga alam sekitar tidak semestinya bermula dengan perkara besar, tetapi boleh dimulakan melalui tindakan kecil yang konsisten.

Akhir sekali, harapan terbesar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia sudah tentu terletak pada generasi akan datang. Generasi muda hari ini bakal mewarisi dunia yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran alam sekitar. Jika tiada tindakan diambil sekarang, mereka mungkin akan hidup dalam keadaan bumi yang lebih panas, sumber semula jadi yang semakin berkurangan dan ekosistem yang rosak. Oleh itu, pendidikan serta kesedaran alam sekitar perlu dipupuk sejak kecil agar rasa cinta terhadap bumi menjadi sebahagian daripada nilai kehidupan mereka.

Akhir kata, Hari Alam Sekitar Sedunia bukan sekadar sambutan simbolik tahunan tetapi satu isyarat tegas kepada manusia bahawa bumi sedang berada dalam keadaan yang semakin terancam. Di sebalik arus pembangunan moden yang pesat, manusia tidak lagi boleh terus leka mengejar kemajuan tanpa menilai kesan yang ditinggalkan terhadap alam sekitar. Tanda amaran semakin jelas, kerosakan ekosistem, perubahan iklim yang tidak menentu dan kemusnahan sumber semula jadi; semuanya menuntut tindakan segera sebelum terlambat. Hanya melalui kerjasama yang erat dan berterusan antara negara, masyarakat serta generasi muda, barulah harapan untuk menyelamatkan bumi dan membina masa hadapan yang lebih hijau, selamat dan lestari dapat direalisasikan kerana bumi ini bukan milik manusia, tetapi juga milik insan ciptaan Tuhan yang lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi