Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru — Johor telah mengukir sejarah baharu apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi CODE+ dalam pembinaan pusat data berskala besar, satu langkah yang dilihat mampu menjadikan negeri itu peneraju pembangunan digital mesra alam di negara ini.
Pengumuman bersejarah itu dibuat bersempena dengan pelancaran Pusat Kecemerlangan (COE) oleh Princeton Digital Group (PDG) di Kampus Sedenak pada 23 April lalu, seiring dengan perasmian pusat data berskala besar JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 milik syarikat tersebut.
Ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang,
Persoalannya bukan lagi sejauh mana kita pantas berkembang, tetapi sejauh mana baiknya kita berkembang.
Secara ringkasnya, CODE+ merupakan bahan binaan khas yang mengandungi grafena, sejenis bahan terkuat di dunia yang nipis seperti atom dan dibangunkan sendiri oleh saintis tempatan Malaysia.
Teknologi ini bukan sahaja membantu bangunan bertahan lebih lama, malah dapat mengurangkan karbon yang terlepas ke udara semasa proses pembinaan.
Beliau juga berkata, pembinaan pusat data berskala besar boleh menyumbang antara 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelepasan karbon sepanjang hayat sesebuah infrastruktur, satu angka yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam majlis yang sama, Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDG dengan IDC Global Holdings Sdn. Bhd. turut dimeterai bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelesaian rendah karbon untuk sektor pembinaan infrastruktur di Malaysia.
Dua sijil pengiktirafan juga diserahkan bagi mengesahkan kredibiliti teknologi CODE+ di mata industri antarabangsa.
Pencapaian ini turut menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2030, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di samping mengangkat Johor sebagai nadi strategik Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) dalam arena ekonomi digital serantau.