Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Pilah – Seramai empat orang dilaporkan disyaki menghidap penyakit leptospirosis, atau lebih dikenali sebagai kencing tikus, selepas mengunjungi taman rekreasi di sini baru-baru ini.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam. Menurut JKNNS, kesemua kes itu mempunyai gejala yang hampir sama, iaitu demam, sakit kepala dan sakit otot serta mempunyai sejarah menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan.
Satu daripada empat pesakit tersebut terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan
lanjut, manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar dan sampel klinikal kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis.
Penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi tersebut mendapati persekitaran di situ sesuai untuk penularan penyakit leptospirosis dan telah ditutup bermula pada 10 Mei hingga 17 Mei 2026 bagi membolehkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan.
Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebarkan daripada haiwan kepada manusia melalui bakteria Leptospira. Manusia boleh dijangkiti apabila kulit yang luka atau membran mukus terdedah kepada air, tanah atau makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan yang membawa bakteria tersebut. Antara haiwan yang boleh menjadi pembawa bakteria Leptospira termasuklah tikus, kucing, anjing, lembu, khinzir, arnab dan kuda.
JKNNS mengingatkan orang ramai bahawa tempoh pengeraman penyakit ini adalah antara dua hari hingga 30 hari dengan gejala lazim yang perlu diambil perhatian termasuklah demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya, muntah dan cirit-birit.
JKNNS turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berhampiran sekiranya mengalami mana-mana gejala tersebut selepas mengunjungi kawasan rekreasi air.
Jabatan itu berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian ini dan meningkatkan kesiapsiagaan semua agensi berkaitan.