Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan tunjang utama dalam usaha kerajaan memperkukuh kedudukan ekonomi negara, terutamanya ketika Malaysia berdepan dengan pelbagai tekanan luar termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan global dan krisis tenaga berikutan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya baru-baru ini.

YAB Perdana Menteri menekankan bahawa segala perancangan dan pelaksanaan berkaitan dengan STI mesti dijalankan secara lebih tersusun dan berkesan agar Malaysia benar-benar mampu berdepan dengan cabaran semasa.

Ujarnya,

Tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasakan ekosistem STI negara melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan ini amat penting bagi memastikan wujudnya kerjasama yang kukuh antara Kerajaan MADANI, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

Menurutnya lagi, hasil penyelidikan mestilah dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata yang dirasai terus oleh rakyat dan negara, bukan sekadar kekal di atas kertas atau dalam makmal semata-mata.

Dalam mesyuarat tersebut, kerajaan turut meneliti beberapa inisiatif baharu yang akan dilaksanakan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perlumbaan teknologi global, sekali gus menjadikan STI sebagai jentera penggerak pertumbuhan ekonomi yang mapan dan inklusif.

Langkah ini selari dengan hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berupaya berdiri sama tinggi dengan negara maju lain melalui pembangunan yang berpaksikan inovasi dan pengetahuan.

Kredit Foto: Telegram YAB Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi