Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Kesihatan mental kini diiktiraf sebagai komponen penting dalam kesejahteraan insan yang memberikan impak secara langsung terhadap kualiti hidup, produktiviti kerja dan keharmonian sosial.
Seiring dengan peningkatan cabaran dalam menelusuri kehidupan moden, pendekatan intervensi psikologi seperti Cognitive Behaviour Therapy for Healing (CBT-H) dilihat semakin relevan bagi membantu individu memahami serta mengurus kesejahteraan emosi secara lebih sistematik dan berstruktur.
Menyedari kepentingan tersebut, Kursus CBT-H Tahap 1 telah dilaksanakan pada 9 dan 10 Mei 2026 di Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia dengan penyertaan seramai 65 orang peserta daripada pelbagai latar belakang profesional dan komuniti, manakala sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, seorang tokoh akademik dalam bidang kaunseling dan psikologi di Malaysia yang juga merupakan pengasas serta pelatih utama bagi beberapa persijilan terapeutik seperti Art Drawing-House Tree Person, Terapi Kesedaran Cinta dan Terapi Keibubapaan Kasih Sayang.
Dalam sesi tersebut, YBrs. Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah menekankan bahawa kemahiran mengurus minda seharusnya menjadi milik masyarakat secara inklusif.
Ujarnya,
CBT-H merupakan kemahiran hidup untuk membina ketahanan diri dan perisai psikologi. Dengan memahami perkaitan antara pemikiran dengan emosi, individu dapat mengurus tekanan harian secara berkesan serta mencegah krisis mental yang lebih kronik.

Secara dasarnya, CBT-H merupakan pendekatan psikologi berasaskan bukti yang menekankan korelasi antara pemikiran, emosi dan tingkah laku yang bersandarkan kepada premis bahawa cara seseorang mentafsir sesuatu situasi akan menentukan reaksi emosi dan tindakan mereka. Pendekatan ini telah digunakan secara meluas untuk menangani pelbagai isu kesihatan mental yang kritikal seperti kemurungan, keresahan, dan stres kronik, selain berfungsi sebagai mekanisme intervensi awal bagi individu yang berdepan dengan tekanan emosi.
Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2024) meletakkan kesihatan mental sebagai tonggak utama kesihatan menyeluruh, dengan kemurungan menjadi antara punca utama ketidakupayaan secara global, manakala Laporan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2023) turut melaporkan trend peningkatan kes berkaitan dengan tekanan emosi dan lesu upaya (burnout) dalam kalangan masyarakat, maka aplikasi CBT-H dilihat sebagai instrumen penting dalam memperkukuh daya tindak individu sebelum isu psikologi menjadi lebih kompleks
Keunikan kursus ini terletak pada sifatnya yang inklusif kerana terbuka, bukan sahaja kepada pengamal profesional seperti kaunselor berdaftar dan pegawai psikologi, malah turut melibatkan ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), penjawat awam, pendidik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan, sekali gus membuktikan bahawa literasi kesihatan mental dan kemahiran asas CBT-H wajar dikuasai oleh masyarakat sebagai bentuk bantuan awal psikologi, termasuk membantu ibu bapa mengenal pasti masalah emosi anak-anak serta memberikan sokongan yang lebih efektif pada peringkat akar umbi.
Dalam ekosistem organisasi, pelibatan pegawai psikologi dan ahli AKRAB turut memperkukuh peranan mereka sebagai ejen sokongan psikososial yang lebih berwibawa, sekali gus membantu pembentukan budaya kerja yang lebih empatik, seimbang dan berdaya tahan, manakala pelaksanaan kursus CBT-H pula dilihat sebagai langkah proaktif dalam mendemokrasikan ilmu kesihatan mental ke arah melahirkan masyarakat yang celik emosi, berdaya tahan dan saling menyokong dalam menghadapi cabaran moden.
