Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching — Seorang lelaki warga Malaysia berusia 63 tahun dari Bintulu telah meninggal dunia pada 3 Mei 2026 akibat jangkitan rabies, menjadikannya kes kematian keempat akibat penyakit itu di Sarawak bagi tahun 2026. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengesahkan perkara ini dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut JKN Sarawak, mangsa dipercayai digigit anak anjing pada pertengahan Februari 2026 tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan, sebaliknya hanya mencuci luka kurang daripada lima minit sebelum meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pada 26 April 2026, beliau mula menunjukkan simptom rabies sebelum dibawa ke Hospital Bintulu dan ujian makmal kemudiannya mengesahkan jangkitan tersebut.
Secara keseluruhannya, sebanyak 94 kes rabies dalam kalangan manusia telah dilaporkan di Sarawak sejak wabak ini diisytiharkan pada Julai 2017, dengan 87 kes daripadanya berakhir dengan kematian, sekali gus mencatatkan kadar kematian setinggi 92.6 peratus.
“Rabies boleh membawa maut, namun boleh dicegah. Rawatan awal melalui Post-Exposure Prophylaxis (PEP) selepas gigitan haiwan berisiko adalah sangat berkesan dalam mencegah jangkitan rabies.” — JKN Sarawak
Sementara itu, dari 1 Januari 2026 hingga 2 Mei 2026, Sarawak merekodkan sebanyak 8171 kes gigitan haiwan, bersamaan dengan purata 480 kes seminggu. Majoriti kes melibatkan gigitan atau cakaran kucing (63.7%), diikuti anjing (34.8%), dengan sebahagian besarnya berpunca daripada haiwan peliharaan (68.6%).
JKN Sarawak mengingatkan orang ramai agar segera mencuci luka dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit sekiranya digigit atau dicakar haiwan, dan terus mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan yang berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan agar memastikan haiwan peliharaan menerima vaksinasi antirabies lengkap setiap tahun dan melaporkan sebarang gigitan haiwan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau Pihak Berkuasa Tempatan.