Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan — Penularan malaria monyet atau nama saintifiknya, Plasmodium knowlesi kini berada pada tahap yang membimbangkan dengan ratusan kes direkodkan di seluruh negara hingga Minggu Epidemiologi ke-16 termasuklah satu kematian, sekali gus mendorong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai agar tidak memandang ringan ancaman penyakit bawaan nyamuk ini.
Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad ketika ditemukan selepas merasmikan Wellness Hub Sandakan berkata, penyakit yang berpunca daripada gigitan nyamuk yang turut menghisap darah monyet itu semakin serius dan memerlukan perhatian segera daripada semua pihak.
Katanya,
Keadaan ini serius dan tidak boleh dipandang ringan serta pengesanan awal dan rawatan segera amat penting.
Menurut beliau, walaupun Sabah mencatatkan antara bilangan kes tertinggi, risiko jangkitan tidak terhad kepada negeri tertentu kerana penyakit ini boleh berlaku di mana-mana kawasan yang melibatkan interaksi manusia dengan hutan atau habitat hidupan liar.
Beliau juga memaklumkan bahawa semua kemudahan kesihatan KKM termasuklah hospital berada dalam keadaan bersedia dan berupaya mengesan jangkitan, oleh itu orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala, terutamanya selepas berada di kawasan berisiko.
KKM turut menekankan pendekatan “One Health” yang melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan dan pihak veterinar bagi memastikan pemantauan menyeluruh merangkumi kesihatan manusia, alam sekitar dan hidupan liar.
Orang ramai disarankan untuk meningkatkan langkah pencegahan seperti menggunakan penghalau nyamuk ketika berada di kawasan hutan serta peka terhadap gejala seperti demam tinggi, menggigil dan sakit kepala dengan mendapatkan rawatan segera.