Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Dalam usaha memacu kecemerlangan tadbir urus dan integriti teknikal, sebanyak 35 orang auditor dalaman Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkumpul di Bilik Kuliah, Blok 11 bagi menjayakan Kursus Audit Dalaman ISO/IEC 17020, ISO/IEC 17025 dan ISO 13485.
Program intensif anjuran Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa (BPA) ini bermatlamat untuk memperkukuh kefahaman teknikal serta meningkatkan kompetensi pelaksanaan audit, selaras dengan standard antarabangsa yang menjadi tunjang kepada sistem kualiti, ketelusan dan kecekapan organisasi.

Ketua Unit Pemantauan DTNN, Kualiti dan Inovasi, BPA, Yang Mulia Raja Jamal Abdul Nasser Raja Hedar, menegaskan bahawa peranan auditor dalaman kini bukan sekadar semakan rutin, tetapi sebagai entiti kritikal dalam memastikan organisasi kekal kompeten, berintegriti serta mematuhi keperluan akreditasi yang semakin kompleks.
Menurut beliau, standard antarabangsa bukan sekadar dokumen teknikal, tetapi menjadi asas kepada keyakinan dan integriti sistem yang dilaksanakan.
Di Nuklear Malaysia, pematuhan standard ISO amat penting bagi memastikan pusat khidmat dan aktiviti pemeriksaan dilaksanakan secara kompeten, telus serta memenuhi keperluan keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Pengisian kursus memberikan tumpuan khusus kepada tiga standard utama yang menjadi teras pelaksanaan sistem pengurusan kualiti dan pemeriksaan. Tumpuan utama diberikan kepada ISO/IEC 17020:2026, iaitu edisi terbaharu bagi badan pemeriksaan yang menekankan aspek kecekapan, kesaksamaan dan konsistensi. Slot pertama yang mengupas transisi standard ini telah dikendalikan oleh Encik Amry Amin Abas dari Bahagian Teknologi Industri bagi menjamin keputusan pemeriksaan yang bebas daripada konflik kepentingan.

Sesi diteruskan dengan pendedahan terhadap ISO/IEC 17025:2017 yang mengawal selia makmal ujian dan penentukuran. Encik Norfaizal Mohamed@Muhammad dari Bahagian Pengkomersialan Teknologi memperincikan penggunaan standard ini dalam ekosistem makmal bagi memastikan kompetensi teknikal yang ampuh menerusi penggunaan kaedah ujian yang sah serta kebolehkesanan keputusan pengukuran yang jitu.
Sementara itu, Puan Ruzalina Baharin dari Khidmat Kemudahan Iradiasi membincangkan ISO 13485:2016 yang memfokuskan sistem pengurusan kualiti peralatan perubatan. Piawaian ini menekankan kawalan proses yang ketat dan pengurusan risiko holistik demi keselamatan produk perubatan, di samping teknik penulisan laporan audit yang sistematik dan berimpak tinggi.
Auditor dan Pegawai Penyelidik di Bahagian Sokongan Teknikal, YBrs. Dr. Sofian Ibrahim pula berkata, pengenalan ISO/IEC 17020:2026, khususnya memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju baharu dan transformasi dalam pelaksanaan audit pemeriksaan semasa.
Melalui inisiatif ini, Nuklear Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kapasiti modal insan, malah terus memperkukuh budaya kualiti berasaskan pematuhan standard antarabangsa yang sentiasa berevolusi selari dengan kemajuan teknologi nuklear negara.