Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bayangkan sebuah bilik makmal yang sunyi, dipenuhi peti sejuk beku bersuhu -80 darjah Celcius (°C) dan tangki nitrogen cecair yang berasap nipis. Di dalamnya tersimpan ribuan tiub kecil – bukan emas atau permata, tetapi sesuatu yang jauh lebih berharga untuk dunia sains, iaitu bakteria.

Apabila disebut perkataan bakteria, ramai yang akan membayangkan penyakit atau jangkitan. Hakikatnya, bakteria bukan hanya musuh kepada kesihatan manusia. Dalam dunia sains dan teknologi, bakteria ialah aset yang sangat berharga. Mereka memainkan peranan penting dalam penghasilan antibiotik, pemprosesan makanan, rawatan sisa buangan, pengekalan keseimbangan ekologi, malah berpotensi menjadi sumber inovasi bioteknologi masa hadapan. Tanpa sumbangan mikroorganisma ini, banyak penemuan saintifik yang kita nikmati hari ini mungkin tidak dapat dicapai. Oleh itu, simpanan bakteria secara sistematik dan terkawal menjadi elemen penting dalam penyelidikan saintifik moden.

Sistem simpanan bakteria membolehkan penyelidik menyimpan strain yang mempunyai ciri unik dari segi genetik dan sifat biokimia. Tanpa simpanan yang baik, bakteria boleh berubah sifat, tercemar atau mati, sekaligus menjejaskan keputusan penyelidikan. Simpanan bakteria yang baik membolehkan kajian dijalankan dengan lebih konsisten dan keputusan eksperimen boleh disahkan semula. Hal ini juga dapat memastikan strain dikekalkan dalam keadaan stabil, mengekalkan ciri genetik dan fisiologi asal serta menjadi rujukan penting untuk kajian masa hadapan. Selain itu, koleksi bakteria ini membantu pembangunan produk baharu, penemuan saintifik, pendidikan dan keselamatan biologi kerana penyimpanan yang terkawal dapat mengurangkan risiko penyebaran bakteria berbahaya.

Dalam praktik makmal mikrobiologi, terdapat beberapa kaedah utama untuk menyimpan bakteria, bergantungepada tempoh simpanan dan tujuan penggunaan. Kaedah simpanan jangka pendek biasanya dilakukan pada 4°C menggunakan medium agar dalam peti sejuk. Kaedah ini sesuai untuk kegunaan harian atau beberapa minggu sahaja kerana mudah dan cepat, tetapi tidak sesuai untuk penyimpanan jangka masa panjang. Untuk tempoh yang lebih lama, bakteria biasanya dibekukan pada suhu -80°C setelah dicampur dengan bahan pelindung seperti gliserol. Pada suhu ini, aktiviti metabolik bakteria hampir terhenti, membolehkannya disimpan selama bertahun-tahun tanpa menjejaskan sifat asal bakteria tersebut. Kaedah lain termasuklah simpanan dalam nitrogen cecair pada suhu -196°C, iaitu bakteria hampir “terhenti masa” dalam keadaan asalnya. Selain itu, kaedah pengeringan beku atau liofilisasi (lyophilization) membolehkan air dikeluarkan daripada bakteria semasa proses pembekuan, sekali gus memudahkan penyimpanan jangka masa panjang dan penghantaran ke makmal lain.

Kaedah menyimpan bakteria.

Peranan bank kultur mikroorganisma juga amat penting dalam memastikan penyelidikan bersifat standard dan boleh diulang di seluruh dunia. Institusi antarabangsa seperti American Type Culture Collection (ATCC) dan DSMZ – German Collection of Microorganisms and Cell Cultures menyimpan ribuan strain bakteria sebagai rujukan. Bank ini memastikan strain digunakan secara konsisten dalam penyelidikan, penghasilan produk farmaseutikal, pertanian, bioteknologi dan pendidikan. Di Malaysia, universiti dan institut penyelidikan turut mempunyai koleksi dalaman bagi menyokong pembangunan sains tempatan. Koleksi ini bukan sahaja memudahkan kajian saintifik, tetapi juga memastikan khazanah mikroorganisma terus menjadi rujukan bagi penyelidik generasi akan datang.

Walaupun kelihatan mudah, penyimpanan bakteria menuntut tahap disiplin dan kepatuhan yang tinggi. Prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dengan ketat. Rekod dokumentasi yang lengkap dan pelabelan yang jelas diperlukan bagi mengelakkan kekeliruan antara strain. Kawalan suhu yang konsisten juga penting kerana sebarang fluktuasi boleh menjejaskan kesihatan bakteria. Selain itu, amalan keselamatan biologi yang baik perlu dipatuhi untuk melindungi penyelidik dan alam sekitar daripada pendedahan mikroorganisma berbahaya. Kegagalan mematuhi prosedur ini bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan strain yang bernilai tinggi, tetapi juga memberikan impak besar terhadap kesinambungan penyelidikan dan pembangunan inovasi.

Simpanan bakteria boleh dianggap sebagai menyimpan benih pengetahuan untuk masa hadapan. Walaupun bakteria bersaiz mikroskopik, kepentingannya dalam sains dan teknologi sangat besar. Koleksi bakteria yang tersimpan rapi menjadi asas kepada penemuan baharu termasuklah dalam bidang perubatan, pertanian dan bioteknologi. Dengan sistem simpanan yang cekap dan teratur, penyelidikan dapat diteruskan secara mampan, memberikan manfaat besar kepada masyarakat selain menyokong pembangunan saintifik tempatan dan global. Pemeliharaan khazanah senyap ini merupakan pelaburan penting untuk masa hadapan yang lebih sihat, produktif dan inovatif.

Pada era inovasi saintifik semakin pantas berkembang, simpanan bakteria bukan sahaja berkaitan dengan penyelidikan semasa, tetapi juga menyediakan asas kukuh untuk kajian masa hadapan. Dengan memahami nilai simpanan bakteria, masyarakat dan penyelidik dapat menghargai sumbangan mikroorganisma ini yang walaupun tidak kelihatan, menjadi asas kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang dinikmati pada hari ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi