Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Sebanyak 43 orang pekerja sinaran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menyertai Kursus Asas Perlindungan Sinaran anjuran Bahagian Teknologi Perubatan, Nuklear Malaysia secara dalam talian bagi memperkukuh amalan keselamatan radiologi, selaras dengan peningkatan penggunaan teknologi nuklear dalam sektor perubatan dan industri negara.
Kesedaran terhadap keselamatan radiologi kini menjadi agenda kritikal, dengan penggunaan sinaran di Malaysia didominasi oleh sektor perubatan sebanyak 60 peratus, diikuti dengan sektor industri 38.8 peratus dan ujian tanpa musnah 1.2 peratus, sekali gus mencerminkan kebergantungan tinggi negara terhadap teknologi ini serta keperluan tahap kompetensi keselamatan yang tinggi dalam kalangan pengamal.
Pengarah Bahagian Teknologi Perubatan, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Zainah Adam dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa kesedaran terhadap perlindungan sinaran bukan sekadar memenuhi keperluan peraturan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama dalam membudayakan persekitaran kerja yang selamat dan berintegriti.
Beliau turut menekankan bahawa penguasaan ilmu sinaran menjadi tunjang pembentukan budaya kerja selamat, manakala pematuhan terhadap protokol keselamatan bukan sahaja memenuhi tuntutan perlesenan, tetapi juga tanggungjawab moral dalam melindungi kesejahteraan pekerja dan masyarakat, selari dengan piawaian antarabangsa.
Penganjuran kursus secara maya membuktikan kekangan fizikal bukan lagi halangan dalam memperkukuh kefahaman aspek keselamatan sinaran, khususnya dalam persekitaran kerja berisiko pendedahan radiasi pengionan, selain menjadi manifestasi pematuhan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang mengawal selia keselamatan penggunaan tenaga atom demi melindungi orang awam dan alam sekitar.
Program ilmiah ini menampilkan Pegawai Penyelidik, Bahagian Keselamatan dan Kesihatan, Nuklear Malaysia, Puan Hajjah Hasfazilah Hassan sebagai penceramah utama yang mengupas prinsip asas perlindungan sinaran serta pengurusan risiko pendedahan, di samping membantu peserta memahami impak biologi dan aspek teknikal perlindungan secara sistematik.

Sepanjang kursus tersebut berlangsung, peserta didedahkan kepada jenis sinaran serta penggunaan prinsip perlindungan utama, iaitu masa, jarak dan perisai, selain memahami kesan biologi sinaran terhadap sel manusia bagi memperkukuh langkah pencegahan serta meningkatkan keyakinan dalam mengamalkan kerja selamat secara konsisten.

Secara keseluruhannya, kejayaan pelaksanaan kursus secara dalam talian ini mencerminkan keupayaan organisasi menyesuaikan diri dengan norma baharu dan kemajuan teknologi komunikasi, sekali gus memastikan agenda pemerkasaan keselamatan sinaran terus dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan kualiti penyampaian maklumat kritikal.
