Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa dan pemasyhuran ilmu melalui penyertaan dalam Program Student Holistic International Networking and Engagement (SHINE) bersama-sama Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya yang berlangsung selama lima hari bermula pada 13 April 2026 hingga 17 April 2026.
Program yang melibatkan 10 orang pelajar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh itu mengangkat tema “Transformative Learning Through International Collaboration and Sustainability” yang bertujuan untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada pelajar, di samping memupuk kefahaman rentas budaya serta memperkukuh kemahiran insaniah melalui pendekatan pembelajaran holistik yang merangkumi aktiviti akademik, perkongsian amalan terbaik, lawatan institusi dan pelibatan komuniti berteraskan pembangunan lestari.
Antara pengisian utama program mobiliti tersebut termasuklah sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan oleh kedua-dua institusi dengan USM diwakili oleh YBrs. Dr. Nik Norliati Fitri yang berkongsikan amalan terbaik universiti dalam menyokong agenda kelestarian, manakala wakil UNAIR, YBrs. Dr. Sendy Ayu membentangkan inisiatif yang dilaksanakan di universiti tersebut, sekali gus membuka ruang dialog akademik dan pertukaran perspektif global.
Selain itu, para peserta turut mengikuti lawatan kebudayaan dan sejarah di sekitar Surabaya serta menyertai inisiatif pertanian bandar yang menekankan pelibatan komuniti, termasuklah pendedahan kepada amalan pembangunan komuniti berimpak seperti pemerkasaan pelajar kurang upaya dan komuniti berpendapatan rendah (B40) yang dikongsikan oleh YBrs. Dr. Masayu Rosliah Abdul Rashid bersama-sama YBrs. Dr. Zamal dari UNAIR yang menonjolkan aspek pemberdayaan wanita melalui aktiviti ekonomi kitaran.

Program SHINE bukan sahaja memberikan manfaat dari segi pengalaman pembelajaran antarabangsa kepada pelajar, malah mengukuhkan kerjasama strategik antara USM dengan UNAIR dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan program mobiliti, selari dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan holistik yang berdaya saing, berfikiran global dan peka terhadap isu kelestarian sejagat.
