Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menyambut baik langkah penjimatan bahan api yang dilaksanakan di ibu pejabat seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah JBPM, YBhg. Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad.
Menurut Pengarah JBPM Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail, JBPM Negeri Selangor telah mula melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuklah menyusun semula pergerakan logistik, mengoptimumkan jadual operasi serta memperluas penggunaan mesyuarat secara dalam talian.
Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan kos bahan api, malah meningkatkan kecekapan pengurusan sumber manusia dan aset jabatan secara keseluruhan.
Beliau juga menegaskan bahawa pelaksanaan langkah penjimatan bahan api ini tidak akan menjejaskan tahap kesiapsiagaan operasi, malah semua jentera dan anggota kekal bersedia sepenuhnya untuk memberikan respons pantas terhadap sebarang kecemasan.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan dalam sokongan terhadap penjimatan bahan api termasuklah mengadakan mesyuarat secara dalam talian, memastikan penggunaan kenderaan secara berhemah dan peranan kritikal Pusat Gerakan Operasi Negeri dalam menilai tahap insiden serta keperluan logistik yang diperlukan sebelum mengarahkan pergerakan jentera.
Katanya,
Keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan dan sebarang panggilan kecemasan akan terus diberikan maklum balas segera tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025, Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Negeri Selangor yang berlangsung pada hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YBhg. Dato’ Othman Abdullah, dengan penyampaian anugerah kepada 127 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 22 orang penerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun serta empat orang penerima Sijil Perkhidmatan Terpuji sebagai tanda penghargaan atas jasa dan komitmen mereka.

Majlis tersebut juga menjadi lambang penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada warga JBPM Negeri Selangor atas segala sumbangan serta pengorbanan yang dicurahkan dalam menggalas amanah sebagai penjawat awam, sama ada ketika melaksanakan tugas rasmi mahupun melalui pelibatan aktif dalam bidang sukan, sosial dan kemasyarakatan.