Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan pada 7 April 2026 bagi menangani krisis penyusutan air di utara tanah air dikategorikan sebagai satu kejayaan besar.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan serta laporan tinjauan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, operasi tersebut telah mencatatkan taburan hujan yang signifikan hasil daripada tindakan proaktif Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Berdasarkan data stesen cerapan dan sistem MyRAE, negeri Perlis mencatatkan bacaan hujan antara 10 milimeter (mm) hingga 45 mm sekitar pukul 7.00 malam hingga 8.00 malam.
Sementara itu, negeri Kedah mencatatkan taburan hujan yang lebih tinggi, iaitu antara 6 mm hingga 57.4 mm bagi tempoh tiga jam bermula pada pukul 7.00 malam.
Operasi ini dilaksanakan menerusi teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus dengan menggunakan pesawat C130-Hercules milik TUDM yang menyasarkan kawasan tadahan empangan Muda, Pedu, Ahning dan Timah Tasoh.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang hadir melihat persiapan operasi di Pangkalan Udara TUDM Subang, menjelaskan bahawa kejayaan ini dipacu oleh keadaaan atmosfera yang tidak stabil serta kandungan kelembapan yang tinggi.
Beliau menegaskan bahawa langkah intervensi ini kritikal memandangkan terdapat 11 empangan utama di Perak, Kedah, Perlis dan Johor kini berada dalam kategori waspada serta kritikal akibat cuaca kering yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Mengenai keberkesanan langkah tersebut, beliau berkata,
Saya percaya usaha bersepadu seperti ini membuktikan bahawa kesiapsiagaan, tindakan berasaskan sains serta ikhtiar berterusan mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca.
Tambah beliau lagi, kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan proaktif ini demi menjamin keselamatan bekalan air serta kelangsungan sektor pertanian negara.
Selepas kejayaan di Kedah dan Perlis, operasi kini diteruskan dengan tumpuan kepada kawasan tadahan empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak.