Diterbitkan pada 6 April 2026, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan — Rakyat Sarawak bakal menikmati kemudahan sebuah pusat sains moden baharu apabila Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) dijadualkan akan dirasmikan pada 29 Julai 2026 oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Yang Berhormat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memaklumkan bahawa pusat sains tersebut kini telah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi dan menerima kunjungan orang ramai.

Beliau turut menyeru semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru agar membawa anak-anak serta pelajar mengunjungi pusat berkenaan bagi mendedahkan generasi muda kepada dunia sains secara langsung.

Katanya,

Bukan sekadar datang sendirian, malah bawalah ahli keluarga dan rakan-rakan, terutamanya generasi muda supaya mereka dapat melihat sendiri hakikat sebenar bidang sains serta sumbangannya kepada kita.

Beliau berkata demikian semasa sidang media berkaitan dengan Persidangan Antarabangsa SHInE Sarawak 2026 yang berlangsung di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Sarawak (TROPI) di Kota Samarahan.

SSCiEX dibina di atas tapak seluas 10.8 ekar berhampiran dengan Ibu Pejabat Sarawak Energy Berhad di Jalan Stadium, Petra Jaya, Kuching.

Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Belanjawan 2025 yang pada asalnya dijangkakan siap pada akhir tahun 2025.

Selain perasmian SSCiEX, beliau turut mengumumkan Persidangan Antarabangsa SHInE Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 September 2026 di Hotel Imperial Kuching.

Persidangan tersebut akan mempertemukan pakar dari bidang penyelidikan, industri dan dasar bagi membincangkan isu berkaitan dengan teknologi mampan serta pembangunan berdaya tahan iklim di Sarawak.

Para peserta juga berpeluang melawat SSCiEX dan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak sebagai sebahagian daripada program teknikal persidangan itu.

Penubuhan SSCiEX dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha Sarawak memupuk minat masyarakat terhadap sains dan inovasi, sekali gus menyokong visi negeri tersebut ke arah pembangunan berasaskan pengetahuan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi