Diterbitkan pada 24 Mac 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amsterdam — Malaysia kini mengambil langkah berani dalam mengurus rangkaian jalan raya negara dengan cara yang lebih moden menerusi penggunaan teknologi pintar dan sistem digital bersepadu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan sudah mula meninggalkan cara lama dalam mengurus infrastruktur jalan raya dan kini beralih kepada pendekatan yang lebih canggih dengan menggunakan data dan teknologi digital sebagai teras utama.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut di Forum Intertraffic Amsterdam, di hadapan peserta dari pelbagai negara.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa Malaysia menyelenggara hampir 296 ribu kilometer jalan raya, menjadikannya antara rangkaian jalan terbesar di Asia Tenggara. Hal ni turut disokong oleh lebih lima ribu kilometer sistem lebuh raya yang menghubungkan bandar besar, pelabuhan serta kawasan ekonomi seluruh negara.

Pertambahan kenderaan di jalan raya turut menjadi cabaran besar. Pada tahun 2024, seramai 1.57 juta kenderaan baharu didaftarkan, bermakna lebih 4300 kenderaan memasuki jalan raya pada setiap hari.

Bagi menangani kepadatan tersebut, Kementerian Kerja Raya kini memperluas penggunaan Sistem Pengangkutan Pintar bagi memantau trafik, melancarkan perjalanan dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.

Beliau turut menyebut tentang Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi Sabah dan Sarawak yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi dan memudahkan pergerakan di Malaysia Timur.

Sebagai contoh nyata manfaat infrastruktur kepada rakyat, beliau memetik jalan Kanowit–Song–Kapit di Sarawak. Penduduk Kapit kini boleh melakukan perjalanan darat dalam masa dua jam hingga tiga jam sahaja, berbanding sebelum ini yang terpaksa mengharungi berjam-jam perjalanan melalui Sungai Rajang.

Katanya,

Inilah yang dimaksudkan apabila  bercakap tentang memanusiakan kejuruteraan, memastikan pembangunan infrastruktur benar-benar meningkatkan kehidupan harian rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi