Diterbitkan pada 28 Mac 2026, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) secara berperingkat di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara bermula pada 31 Mac 2026, sebagai usaha memperkukuh keselamatan sempadan melalui pendigitalan perkhidmatan imigresen.

Pelaksanaan sistem NIISe ini akan dimulakan di beberapa lokasi rintis, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada 31 Mac bagi mod udara, diikuti Kompleks ICQS Bukit Bunga pada 31 Mei bagi mod darat, serta Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 30 Jun bagi mod laut.

Menurut KDN, pelaksanaan berperingkat ini dibuat susulan kejayaan fasa percubaan sistem yang dijalankan dari September 2025 hingga Februari 2026, sekali gus mengesahkan kesiapsiagaan sistem ini untuk diperluas ke seluruh negara.

Sepanjang tempoh percubaan, pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan termasuk pembangunan aplikasi mudah alih MyNIISe, pemasangan kemudahan e-Gate di lapangan terbang antarabangsa utama serta penggunaan kod QR di pintu masuk darat seperti bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Selain itu, sistem baharu ini turut disokong oleh pengaktifan Sistem Saringan Penumpang Lanjutan (APSS), penubuhan Pusat Pemantauan dan Kawalan Bersepadu (NICC) di Putrajaya, Kuching dan Kota Kinabalu, serta pengukuhan infrastruktur Pusat Data (DC) dan Pusat Pemulihan Bencana (DRC) bagi memastikan operasi imigresen lebih stabil dan selamat.

Sehingga 17 Mac 2026, aplikasi MyNIISe telah mencatatkan sebanyak 1,780,425 muat turun dengan hampir 900 ribu pengguna berdaftar dari Malaysia dan Singapura, sekali gus menunjukkan tahap penerimaan yang memberangsangkan terhadap sistem baharu ini.

KDN memaklumkan pelaksanaan NIISe merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan nasional dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan imigresen melalui penggunaan teknologi digital yang menyeluruh.

Sehubungan dengan itu, orang ramai digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe lebih awal bagi memastikan urusan imigresen berjalan lancar apabila pelaksanaan penuh sistem itu diperluas ke seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan NIISe ini boleh didapatkan dengan menghubungi Pejabat Pasukan Petugas Khas NIISe, KDN melalui talian telefon 03-8880 8653/8875.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi