Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur − Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh inisiatif Inkubator Ihsan Food Bank (i-FB) dengan memanfaatkan teknologi retort bagi memastikan lebihan makanan yang masih selamat dapat diagihkan secara lebih efektif kepada golongan yang memerlukan.
Melalui pendekatan inovatif ini, lebihan makanan diproses dengan menggunakan teknologi retort untuk menghasilkan produk makanan sedia makan (ready-to-eat) yang mempunyai jangka hayat lebih lama tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatan makanan tersebut.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh KPDN semalam, Menteri KPDN, Yang Berhormat (YB) Datuk Armizan Mohd Ali berkata bahawa kementerian telah membekalkan sebanyak 14 mesin retort kepada rakan strategik terpilih bagi membolehkan proses pengawetan makanan dilakukan secara sistematik sebelum agihan dibuat kepada kumpulan sasar.
Antara rakan strategik utama yang terlibat dalam pelaksanaan Inkubator i-FB ini termasuklah Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Hotel Le Méridien Putrajaya, Hotel Putrajaya Marriott dan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
Jelas beliau, pendekatan ini bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat makanan, malah memastikan setiap lebihan makanan dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan objektif utama Inisiatif i-FB, iaitu “Selamatkan Makanan dan Sayangi Alam”.
Jelasnya,
Kami melihat pendekatan pemprosesan makanan melalui teknologi retort ini sebagai satu langkah inovatif bagi memastikan lebihan makanan yang masih selamat dan tahan lebih lama untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Sempena bulan Ramadan, KPDN turut memperluas jangkauan melalui Program Selamatkan Makanan Bazar Ramadan di seluruh negara yang merupakan gerakan kerjasama dengan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) bagi mengumpul juadah berbuka yang tidak terjual untuk diserahkan kepada komuniti yang memerlukan.
Data daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17 ribu tan metrik sisa makanan setiap hari. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan sebanyak empat ribu tan metrik sebenarnya masih berpotensi untuk diselamatkan dan diagihkan secara optimum.
Datuk Armizan juga berharap agar usaha ini dapat menyemarakkan lagi semangat kebersamaan antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan pada peringkat nasional.