Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan terus mempergiat aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam sektor agromakanan sebagai pemangkin kepada transformasi sistem makanan negara, demikian dimaklumkan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Dewan Rakyat semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata strategi itu dipacu oleh Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 yang menggariskan R&D&C&I dan teknologi sebagai teras pembangunan sistem agromakanan yang cekap, berdaya tahan, mampan dan terangkum menjelang 2030.
Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak RM246.79 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 31 program penyelidikan secara kolaboratif, manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), lebih RM200 juta disediakan bagi memperkukuh aktiviti R&D&C&I sektor agromakanan.
Antara pencapaian signifikan termasuklah pembangunan varieti dan baka baharu berdaya tahan seperti padi MRQ103 Maria, MR326 Kesidang serta varieti kelapa rendah dan hasil tinggi Malayan Brown Drought (MKL-8, MKL-9, MKL-10). Selain itu, pembangunan sistem pertanian kitar semula dan benih ikan berkualiti turut dilaksanakan bagi menyokong industri akuakultur negara.
Beliau menjelaskan, ketika ini seramai 684 penyelidik berkhidmat di kementerian serta institut penyelidikan di bawahnya dengan kadar pengisian jawatan 93 peratus. Antara institusi utama terlibat termasuklah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Veterinar dan Institut Penyelidikan Perikanan.
Bagi menangani isu persaraan penyelidik senior serta jurang kepakaran kritikal, kementerian melaksanakan pelan penggantian dan pembangunan bakat secara berstruktur merangkumi bimbingan, latihan serta pemindahan ilmu secara berperingkat.
YB Datuk Seri Haji Mohamad berkata, pelanjutan perkhidmatan pakar turut dipertimbangkan secara kes demi kes, tertakluk pada keperluan dan kelulusan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan.
“Kadang-kadang usia 60 tahun itu baru mencapai tahap kematangan dalam penyelidikan. Jadi kita akan nilai secara kes demi kes, terutama dalam bidang kritikal seperti bioteknologi benih dan kecerdasan buatan dalam pertanian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan.
Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai kadar sara diri (SSR) beras yang didakwa menurun daripada sekitar 70 peratus kepada kira-kira 50 peratus, beliau menjelaskan kemerosotan itu antara lain berpunca daripada kehilangan lebih 20 000 hektar sawah akibat pembangunan dan pertukaran guna tanah.
Menurutnya, peningkatan SSR tidak boleh digalas kerajaan persekutuan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat kerajaan negeri, khususnya dalam aspek penyediaan tanah sesuai untuk penanaman padi.
Walaupun MARDI berjaya menghasilkan varieti padi berproduktiviti tinggi, beliau berkata penggunaan teknologi dan amalan agronomi moden perlu diperluas. Sebagai contoh, hasil di Sekinchan dan beberapa kawasan di Selangor mampu mencecah tujuh tan hingga 12 tan sehektar, berbanding dengan purata 4.5 tan hingga 5.5 tan di kawasan lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah dan Sarawak kini menunjukkan kesediaan menyediakan tanah yang tidak diusahakan bagi memperluas kawasan penanaman padi sebagai langkah jangka sederhana untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara.