Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Ramadan sering dihargai sebagai medan latihan rohani tempat jiwa diasah supaya lebih tawaduk, sabar dan qanaah. Namun demikian, Ramadan juga mengundang renungan yang lebih luas, iaitu cara kita memaknai dan menghargai nikmat, khususnya dalam gaya hidup kontemporari yang penuh dengan godaan membeli dan membuang.

Dalam budaya konsumerisme, membeli sesuatu barang baharu sering dianggap sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana menjadi pembuktian status, gaya atau kepuasan. Akibatnya, almari pakaian menjadi penuh dengan baju yang dipakai atau tidak pernah dipakai langsung. Statistik tempatan menunjukkan bahawa pada tahun 2021, sebanyak 432 901 tan metrik sisa tekstil dibuang oleh rakyat Malaysia ke tapak pelupusan sampah, iaitu hampir dua kali ganda berbanding dengan 195 300 tan metrik sisa yang dibuang pada tahun 2018. Walaupun sisa tekstil hanya merangkumi sekitar 3.1 peratus daripada jumlah sisa pepejal negara, impaknya terhadap alam sekitar tetap signifikan kerana kebanyakannya tidak dikitar semula.

Pakaian terpakai bukan sekadar bahan buangan. Sisa ini mengambil masa berdekad, malah berabad lamanya untuk terurai, terutamanya pakaian yang diperbuat daripada bahan sintetik seperti poliester dan poliuretana. Dalam keadaan biasa, sesetengah fabrik boleh mengambil masa lebih 200 tahun untuk terurai sepenuhnya.

Namun demikian, isu ini bukan hanya isu tempatan.  Menurut United Nations Environment Programme (UNEP), industri fesyen menyumbang kira-kira lapan peratus hingga 10 peratus daripada pelepasan karbon dunia, menjadikannya antara industri paling mencemarkan pada peringkat antarabangsa. Industri ini juga menggunakan sekitar 93 bilion meter padu air setiap tahun, satu jumlah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan berjuta-juta manusia.

World Bank pula melaporkan bahawa industri tekstil menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pencemaran air industri global, terutamanya melalui proses pewarnaan dan rawatan fabrik. Dalam konteks perubahan iklim, rantaian pengeluaran pakaian, iaitu daripada penghasilan serat, pembuatan, pengangkutan hingga pelupusan menghasilkan jejak karbon yang besar dan berterusan.

Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya gambaran tentang pilihan harian kita yang berkaitan langsung dengan krisis iklim global.

Isu sisa tekstil dan pola penggunaan ini selari dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG). Secara khusus, isu ini berkait rapat dengan SDG 12: Tanggungjawab terhadap Penggunaan dan Pengeluaran Lestari (Responsible Consumption and Production), SDG 13: Tindakan Iklim (Climate Action) dan SDG 6: Kebersihan Air dan Sanitasi (Clean Water and Sanitation) melalui isu pencemaran air industri tekstil.

Dalam kerangka ESG, aspek alam sekitar menuntut pengurangan pelepasan karbon dan sisa; aspek sosial menuntut keadilan dalam rantaian bekalan dan kesedaran pengguna; manakala aspek tadbir urus menuntut dasar serta amalan yang telus dan bertanggungjawab. Namun demikian, perubahan besar sering bermula daripada tindakan kecil individu.

Ramadan mengingatkan bahawa setiap rezeki yang diterima wajar dihargai, bukan disia-siakan. Teguran tentang pembaziran dalam Islam bukan sekadar berkaitan dengan makanan, tetapi meliputi keseluruhan gaya hidup termasuk pakaian dan harta benda.

Sebelum terjebak dalam hedonisme pembelian tanpa henti, mungkin sudah tiba waktunya untuk kita bertanya kepada diri:

  • Adakah saya benar-benar memerlukan ini?
  • Apakah manfaatnya lebih besar daripada kosnya kepada alam dan masyarakat?
  • Adakah pilihan saya menyumbang kepada krisis atau menjadi sebahagian daripada solusi?

Daripada Pembaziran kepada Kreativiti: Amalan Baharu dalam Nilai Lama

Daripada membiarkan baju kesayangan terkubur di tapak pelupusan, kita boleh mengalihkannya ke jalan yang lebih bermakna, iaitu kitar tinggi (upcycle) dengan mengolah semula baju terpakai menjadi sesuatu yang baharu dengan nilai berbeza.

Baju raya pertama selepas berkahwin, kurung yang dipakai ketika menerima anugerah graduasi, atau pakaian yang menyimpan kenangan lama boleh diubah menjadi beg jinjing (tote bag), uncang bertali, sarung kusyen, tampal cantum (patchwork) atau aksesori yang mempunyai jiwa serta cantik dipandang mata di samping mengabadikan kenangan di minda.

Antara produk yang dihasilkan menerusi amalan kitar tinggi pakaian lama.

Kitar tinggi bukan sekadar kreativiti tangan.  Sebaliknya, aktiviti ini merupakan langkah praktikal ke arah ekonomi kitaran (circular economy), iaitu  satu model ekonomi yang disokong oleh badan antarabangsa sebagai pendekatan penting dalam menghadapi krisis perubahan iklim. Dengan memanjangkan hayat pakaian, kita mengurangkan keperluan pengeluaran baharu, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga, air dan pelepasan karbon.

Dalam konteks climate action, setiap keputusan untuk menggunakan semula atau mengolah kembali pakaian lama merupakan satu bentuk tindakan nyata. Hal ini mungkin kecil pada skala individu, tetapi besar pada skala kolektif.

Ramadan sebagai Titik Perubahan

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah ritual, namun bulan ini ialah ruang pembentukan disiplin diri. Dalam dunia yang semakin terkesan dengan perubahan iklim, Ramadan boleh menjadi titik mula kepada gaya hidup yang lebih bertanggungjawab.

Ramadan ialah peluang untuk membentuk naratif baharu daripada pembaziran kepada penghargaan, daripada budaya fesyen segera (fast fashion) kepada kesederhanaan yang beretika, daripada sikap pengguna pasif kepada warga yang sedar tentang ESG dan SDG, dan daripada ketidakpedulian kepada tindakan iklim yang bermakna.

Kita mungkin tidak mampu mengubah struktur industri global sendirian. Namun demikian, kita mampu mengubah pilihan, manakala pilihan kolektif masyarakat mampu mengubah pasaran.

Kita bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, malah kita juga boleh menahan diri daripada sikap berlebihan dalam penggunaan. Biarlah setiap helai kain yang disentuh menjadi simbol bukan hanya kepada memori lama, tetapi juga kepada komitmen terhadap masa hadapan bumi. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kesederhanaan, ada keberkatan. Dan dalam keberkatan itu, ada harapan untuk dunia yang lebih adil, lebih lestari dan lebih bertanggungjawab terhadap generasi akan datang.

Prof. Madya Ir. Dr. Noor Fitrah Abu Bakar,
Prof. Madya Ir. Dr. Siti Shawalliah Idris,
Prof. Madya Dr. Atikah Kadri,
Fakulti Kejuruteraan Kimia,
Universiti Teknologi MARA.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi