Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Taiping – Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Shah Alam mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih enam anugerah utama, termasuklah tiga platinum dan tiga emas dalam Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) 2026 yang berlangsung pada 11 Februari 2026 hingga 12 Februari 2026 di ADTEC JTM Kampus Taiping.

CITEC 2026 yang bertemakan “Inovasi Inklusif, Aspirasi Progresif” anjuran Jabatan Tenaga Manusia itu menjadi platform penting dalam memupuk budaya kreativiti dan inovasi pendidikan teknikal negara serta menghimpunkan pelbagai projek berimpak tinggi, selari dengan keperluan industri semasa.

Pencapaian enam anugerah tersebut mencerminkan komitmen berterusan ADTEC Shah Alam dalam memperkasakan inovasi berasaskan teknologi digital, automasi, kejuruteraan dan pembelajaran realiti maya (VR) sebagai teras pengukuhan latihan Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih relevan dan progresif.

Untuk kategori Platinum, projek LoRachat: Development of an Inclusive, LoRa Text (H15) Communicator menerima pengiktirafan tertinggi melalui penyelesaian komunikasi inklusif berasaskan teknologi LoRa, diikuti dengan Smart Walking Aid for Special Kid (H5) yang menumpukan inovasi alat bantuan mobiliti untuk kanak-kanak berkeperluan khas serta Self Harvesting BSFL Production System (B3) yang mengetengahkan sistem pengeluaran mampan berasaskan teknologi pertanian moden.

Sementara itu, tiga projek lain meraih anugerah emas, iaitu Mesin Proses Pelet Makanan Ternakan (C9), Simulasi Virtual Reality Mesin Larik atau VR Simulator Lathe Machine (J6) dan ATR 72 Transit Check Using Virtual Reality (C17) yang memperlihatkan kesungguhan institusi dalam memperluas penggunaan simulasi realistik bagi meningkatkan keberkesanan latihan industri.

Pelajar sekolah tidak melepaskan peluang mencuba projek Simulasi Virtual Reality Mesin Larik.

Menurut wakil institusi, Puan Suhaila Mohd Nor, kejayaan tersebut merupakan hasil sinergi erat antara pensyarah dengan pelajar serta sokongan pengurusan yang konsisten dalam memperkukuh budaya inovasi dan penyelidikan dan pembangunan, di samping penyertaan pertandingan sebagai medium menguji kebolehpasaran idea dan tahap kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Secara keseluruhannya, pencapaian di CITEC 2026 menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak inovasi berkualiti tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan ADTEC Shah Alam sebagai antara peneraju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi