Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDemam denggi berlaku disebabkan oleh nyamuk Aedes aegypti yang membawa virus denggi dalam badannya. Apabila nyamuk ini menggigit orang yang sihat, virus akan berpindah dan mula menjangkiti mangsa baharu. Pesakit akan mengalami demam tinggi yang boleh mencecah 40 darjah Celsius, disusuli sakit kepala yang kuat, sakit di belakang bola mata dan kesakitan pada sendi serta otot. Dalam keadaan yang lebih serius, pesakit boleh mengalami pendarahan dalaman, organ badan mula rosak dan boleh menyebabkan kematian.
Data kesihatan menunjukkan bahawa hampir separuh penduduk dunia kini hidup di kawasan berisiko tinggi denggi. Setiap tahun, lebih kurang 390 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus ini. Di Malaysia, ribuan kes dilaporkan setiap tahun dan ratusan nyawa melayang. Kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk merawat pesakit dan menjalankan program pencegahan. Beban ini bukan sekadar dari segi kewangan, malah turut menjejaskan produktiviti negara apabila ramai pekerja terpaksa bercuti sakit atau dimasukkan ke hospital.
Wolbachia sebenarnya bukan sesuatu yang baharu atau dicipta di dalam makmal. Sebaliknya, Wolbachia ialah bakteria yang sudah lama wujud secara semula jadi dalam badan serangga. Lebih 60 peratus daripada jenis serangga di dunia membawa Wolbachia dalam badan mereka seperti rama-rama, kumbang dan pelbagai serangga lain. Bakteria ini hidup dalam sel serangga dan tidak menyebabkan sebarang kemudaratan kepada serangga tersebut.
Sungguhpun begitu, Wolbachia tidak wujud secara semula jadi dalam nyamuk Aedes aegypti. Hal ini membuka peluang kepada saintis untuk memasukkannya ke dalam nyamuk sebagai satu bentuk kawalan biologi. Saintis telah mengkaji Wolbachia selama bertahun-tahun dan memastikan bakteria ini selamat sepenuhnya sebelum digunakan dalam program kawalan denggi.
Teknologi nyamuk berwolbachia membuka jalan baharu dalam usaha mengawal denggi di Malaysia. Data daripada pelbagai kajian antarabangsa menunjukkan bahawa pendekatan ini lebih berkesan berbanding dengan kaedah konvensional yang bergantung sepenuhnya pada racun serangga dan kempen kebersihan. Program ini menawarkan penyelesaian jangka masa panjang yang boleh mengurangkan kes denggi secara berterusan.
Beberapa negara yang telah melaksanakan program ini dalam skala besar mula memperlihatkan perubahan yang ketara. Kawasan yang mempunyai populasi nyamuk berwolbachia mencatatkan penurunan kes denggi yang signifikan. Yang lebih penting, penurunan ini kekal stabil dari tahun ke tahun. Hal ini berbeza dengan kaedah kawalan biasa yang perlu dilakukan berulang kali tanpa memberikan kesan jangka masa panjang.
Proses memasukkan Wolbachia ke dalam nyamuk memerlukan kerja makmal yang teliti. Saintis mengambil telur nyamuk Aedes aegypti dan menyuntik bakteria Wolbachia ke dalam telur tersebut dengan menggunakan peralatan khas. Prosedur ini dilakukan dengan berhati-hati kerana telur nyamuk sangat kecil dan halus.
Selepas berjaya dijangkiti, nyamuk yang terhasil akan membawa Wolbachia sepanjang hidupnya. Bakteria ini kemudiannya akan diwariskan kepada semua keturunan nyamuk tersebut melalui proses pembiakan semula jadi. Apabila nyamuk betina yang membawa Wolbachia bertelur, semua anaknya juga akan mempunyai Wolbachia dalam badan mereka.
Apabila nyamuk ini dilepaskan ke kawasan kediaman, mereka akan mengawan dengan nyamuk tempatan. Yang menariknya, jika nyamuk jantan berwolbachia mengawan dengan nyamuk betina biasa, telur yang dihasilkan tidak akan menetas. Akan tetapi, jika nyamuk betina berwolbachia mengawan dengan mana-mana nyamuk jantan, semua anak yang terhasil akan membawa Wolbachia.
Kesan daripada perkahwinan silang ini menyebabkan bilangan nyamuk berwolbachia dalam sesuatu kawasan meningkat dengan cepatnya. Kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh beberapa bulan, kebanyakan nyamuk di kawasan tersebut akan membawa Wolbachia. Proses ini berlaku secara semula jadi dan berterusan tanpa memerlukan pelepasan nyamuk baharu selepas populasi Wolbachia sudah stabil.
Dalam keadaan biasa, apabila nyamuk menghisap darah seseorang yang menghidap denggi, virus akan masuk ke dalam badan nyamuk. Virus ini kemudian membiak dan akhirnya sampai ke kelenjar air liur nyamuk. Apabila nyamuk menggigit orang lain, virus dalam air liur akan berpindah kepada mangsa baharu dan menjangkiti mereka.
Namun demikian, keadaan berbeza apabila nyamuk membawa Wolbachia. Bakteria ini hidup dalam sel nyamuk dan menggunakan nutrien yang ada untuk terus bertahan. Akibatnya, virus denggi kekurangan sumber untuk membiak dengan baik. Selain itu, Wolbachia juga mengaktifkan sistem pertahanan semula jadi nyamuk yang menyebabkan virus sukar berkembang.
Hasil kajian makmal menunjukkan bahawa nyamuk berwolbachia mempunyai jumlah virus denggi yang jauh lebih rendah berbanding dengan nyamuk biasa. Hal ini bermakna walaupun nyamuk berwolbachia menggigit pesakit denggi, kemungkinan untuk nyamuk ini menyebarkan virus kepada orang lain adalah sangat kecil. Virus tidak dapat berkembang dengan cukup banyak dalam badan nyamuk untuk ditularkan dengan berkesan.
Satu lagi kelebihan Wolbachia ialah bakteria ini bukan sahaja berkesan terhadap virus denggi. Kajian mendapati bahawa bakteria ini turut menghalang virus lain yang disebarkan oleh nyamuk Aedes seperti Zika, chikungunya dan demam kuning. Hal ini menjadikan nyamuk berwolbachia sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam mengawal penyakit bawaan nyamuk.
Penggunaan nyamuk berwolbachia bukan sekadar teori, sebaliknya telah diuji secara meluas di pelbagai negara dengan keputusan yang sangat menggalakkan.
Satu daripada kajian yang paling komprehensif dijalankan di Yogyakarta, Indonesia. Penyelidik dari World Mosquito Program melepaskan nyamuk berwolbachia di sebahagian kawasan bandar tersebut, manakala kawasan lain dijadikan kumpulan kawalan tanpa nyamuk berwolbachia. Keputusan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka, New England Journal of Medicine menunjukkan pengurangan kes denggi sebanyak 77 peratus dan pengurangan kemasukan ke hospital akibat denggi sebanyak 86 peratus di kawasan yang mempunyai nyamuk berwolbachia.
Di Australia, negara yang mempelopori penyelidikan Wolbachia, kawasan yang mempunyai populasi nyamuk berwolbachia tidak mencatatkan sebarang penularan denggi tempatan sejak program dimulakan lebih sedekad lalu. Hal ini merupakan pencapaian yang luar biasa memandangkan Australia pernah mengalami wabak denggi sebelum ini.
Malaysia mempunyai infrastruktur penyelidikan dan kesihatan awam yang cukup baik untuk melaksanakan program ini dengan jayanya. Institut penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan kajian awal dan beberapa kawasan telah dipilih untuk projek rintis. Pengalaman yang dikumpul daripada projek ini akan membantu merangka pelaksanaan yang lebih luas di seluruh negara.
Dari perspektif kesihatan awam, penggunaan bakteria semula jadi seperti Wolbachia merupakan pendekatan yang lebih mampan berbanding dengan penggunaan racun kimia secara berterusan. Racun serangga lama-kelamaan akan kehilangan keberkesanannya apabila nyamuk mula membentuk rintangan (resistance). Wolbachia pula ialah mekanisme biologi yang tidak mudah untuk diubah oleh nyamuk secara biologi. Namun demikian, masyarakat perlu memahami kelebihan sebenar dan cabaran praktikal yang perlu dihadapi.
Kelebihan paling ketara ialah sifatnya yang mampan. Berbeza dengan pengkabutan (fogging) atau semburan racun yang perlu dilakukan berulang kali, nyamuk berwolbachia hanya perlu dilepaskan sekali sahaja di sesuatu kawasan. Populasi Wolbachia yang stabil akan kekal di sana secara semula jadi tanpa memerlukan intervensi tambahan.
Dari sudut alam sekitar, pendekatan ini jauh lebih mesra berbanding dengan racun kimia. Pengkabutan dan semburan racun serangga bukan sahaja membunuh nyamuk, tetapi turut menjejaskan serangga lain yang berguna seperti lebah dan rama-rama. Bahan kimia ini juga boleh mencemari sumber air dan tanah. Nyamuk berwolbachia pula tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan kepada ekosistem, sebaliknya hanya mengubah populasi nyamuk tanpa memudaratkan hidupan lain.
Keselamatan untuk manusia dan haiwan merupakan aspek yang telah dikaji dengan teliti. Wolbachia tidak boleh hidup di luar badan serangga dan tidak boleh berpindah kepada manusia atau haiwan peliharaan walaupun digigit oleh nyamuk berwolbachia. Penyelidik telah menjalankan pelbagai ujian keselamatan dan hasilnya menunjukkan tiada sebarang risiko kepada kesihatan awam.
Dari segi ekonomi, walaupun kos permulaan agak tinggi, program ini sebenarnya lebih jimat dalam jangka masa panjang. Kerajaan tidak perlu terus membelanjakan wang untuk membeli racun serangga, mengupah pasukan pengkabutan, atau kempen kawalan berkala. Setelah populasi Wolbachia wujud, perbelanjaan penyelenggaraan menjadi minimum. Penjimatan ini boleh digunakan untuk program kesihatan lain yang lebih memerlukan.
Namun demikian, cabaran pelaksanaannya tetap ada dan perlu dihadapi secara realistik. Pelaburan awal memang bukan sedikit. Untuk membiakkan berjuta-juta nyamuk berwolbachia memerlukan kemudahan makmal yang canggih, peralatan khas dan pasukan saintis terlatih. Bagi negara atau negeri yang mempunyai bajet terhad, isu ini boleh menjadi penghalang besar untuk memulakan program.
Cabaran yang mungkin lebih sukar ialah penerimaan masyarakat. Idea untuk melepaskan lebih banyak nyamuk ke kawasan kediaman memang kedengaran pelik, malah menakutkan bagi sesetengah individu. Di sinilah pendidikan awam memainkan peranan kritikal. Masyarakat perlu faham bahawa nyamuk yang dilepaskan ini sebenarnya membantu menyelesaikan masalah, bukan menambahkannya.
Pelaksanaan di kawasan luas juga mencabar. Untuk bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, berjuta-juta nyamuk perlu dibiakkan dan dilepaskan secara berperingkat. Hal ini memerlukan perancangan logistik yang rapi, pasukan pelaksana yang besar dan pemantauan berterusan untuk memastikan populasi Wolbachia berjaya bertapak. Pengalaman negara lain menunjukkan bahawa program ini memerlukan komitmen jangka masa panjang, biasanya sekurang-kurangnya tiga tahun hingga lima tahun untuk melihat kesan yang ketara. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini bukan program yang boleh memberikan hasil segera, tetapi apabila sudah berjaya dilaksanakan, kesannya akan berterusan untuk masa panjang.
Satu lagi pertimbangan ialah geografi kawasan tersebut. Program ini berfungsi dengan baiknya di kawasan yang agak tertutup atau terpencil agar populasi nyamuk ini tidak banyak bercampur dengan nyamuk dari kawasan luar. Di lokasi yang terbuka atau berhampiran dengan kawasan hutan, nyamuk biasa dari luar mungkin terus masuk dan mengurangkan populasi Wolbachia. Hal ini menjadikan program kurang berkesan dan mungkin memerlukan pelepasan tambahan dari semasa ke semasa.
Walaupun teknologi nyamuk berwolbachia mempunyai potensi yang besar, namun teknologi ini bukan kaedah yang boleh menyelesaikan masalah denggi secara keseluruhannya. Kejayaan program ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada seluruh masyarakat.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat termasuklah:
Sektor swasta juga boleh memainkan peranan dengan menyokong program ini melalui pembiayaan penyelidikan atau menyediakan kemudahan untuk aktiviti pendidikan awam. Kilang dan tapak industri yang mempunyai kawasan yang luas boleh bekerjasama dengan pihak kesihatan untuk melaksanakan program pelepasan nyamuk berwolbachia di premis mereka.
Matlamat utama adalah untuk mengurangkan beban denggi kepada tahap yang tidak lagi mengancam kesihatan awam. Walaupun sukar untuk menghapuskan denggi sepenuhnya, teknologi nyamuk berwolbachia memberikan harapan realistik untuk mengawal penyakit ini dengan lebih berkesan. Dengan usaha bersama-sama semua pihak dan pelaksanaan yang betul, kita boleh melihat penurunan kes denggi yang ketara dalam beberapa tahun akan datang.