Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kabut sejuk Cameron Highlands yang menyelimuti cerun tanah tinggi yang menghijau seolah-olah menyembunyikan rahsia alam yang tersendiri dan menarik minat ramai pelancong ke tanah tinggi ini. Namun demikian, di sebalik keindahan yang memukau ini, terdapat masalah yang semakin ketara saban tahun apabila kejadian hakisan dan tanah runtuh yang berlaku telah menjejaskan hasil pertanian, mengganggu keseimbangan ekosistem dan mengancam penduduk di sekitarnya. Cerun yang dahulunya subur kini berisiko tinggi mengalami kegagalan akibat amalan pertanian yang agresif dan kejadian hujan yang tidak menentu. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petani yang bergantung sepenuhnya pada kesuburan tanah bagi menjana pendapatan seharian dan kelangsungan hidup mereka. Dalam menghadapi cabaran ini, muncul kesedaran bahawa penyelesaian berkesan tidak hanya bergantung pada teknologi moden semata-mata, tetapi harus didasari oleh pemahaman terhadap sifat semula jadi tumbuhan dan tanah. Oleh itu, Kumpulan Penyelidikan Kelestarian Cerun, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama agensi tempatan dan komuniti petani telah berganding bahu untuk bersama-sama memelihara cerun pertanian ini secara lestari dengan berpaksikan keseimbangan antara ilmu sains dengan amalan seharian petani. Maka, lahirlah inisiatif yang dinamakan Slope Sustainability Farmer Engagement Discourse for Actionable Realization (SSEDAR) yang menjadi simbol sinergi antara sains dengan komuniti tani di tanah tinggi ini.

SSEDAR Menyatukan Ilmu Sains dan Kepakaran Tempatan

SSEDAR  merupakan usaha bersepadu dengan keterlibatan petani dalam memperkukuh kelestarian cerun. Program anjuran UKM dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian  Malaysia (MARDI), Pahang Corporation, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perhutanan Daerah Cameron Highlands ini telah menjadi jambatan yang menghubungkan penyelidikan saintifik dengan kepakaran dan kebijaksanaan tempatan yang diwarisi turun-temurun oleh para petani. Matlamat utama SSEDAR adalah untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran petani dalam memahami peranan alam sebagai satu sistem yang berkaitan serta perlu diurus secara seimbang.

Para petani bukan sahaja belajar mengenali cerun dan jenis tanah, malah mereka turut mempelajari kesesuaian tumbuhan atau sayuran tempatan yang mempunyai nilai ekonomi dan berupaya mengurangkan hakisan. Lebih menarik lagi, para petani juga berpeluang berkongsi pengalaman, berbincang tentang cabaran dan mencari penyelesaian bersama-sama berdasarkan situasi sebenar kebun masing-masing. Pendekatan ini menjadikan SSEDAR bukan sekadar program latihan, tetapi satu gerakan komuniti yang mempertemukan para saintis dan petani dalam usaha yang sama, iaitu memastikan tanah subur kekal lestari untuk generasi akan datang.

Pasukan UKM bersama-sama rakan kolaborasi dan para petani menjayakan program ini.

Biokejuruteraan Cerun Gabungan Sains dan Alam

Pendekatan biokejuruteraan cerun yang diketengahkan dalam program ini menekankan peranan tumbuhan sebagai agen semula jadi yang bertindak menyuburkan dan menstabilkan tanah daripada hakisan. Kaedah ini berbeza daripada kaedah kejuruteraan konvensional yang menggunakan bahan konkrit atau struktur sintetik. Kajian yang dijalankan oleh pasukan UKM dan rakan kolaborasi ini menemukan bahawa tumbuhan tempatan mempunyai sistem akar yang kuat dan panjang, tumbuh jauh ke dalam tanah dan memperkukuh struktur cerun dari bahagian dalam. Akar ini berfungsi memegang zarah tanah agar tidak mudah terlerai ketika hujan lebat.

Pada masa yang sama, kanopi daun yang tebal menyerap sebahagian tenaga hentaman titisan hujan, sekali gus mengurangkan kesan hakisan pada permukaan tanah. Kaedah ini terbukti menjimatkan kos dalam masa yang panjang, lebih mesra alam serta membantu meningkatkan biodiversiti pada sekitar cerun. Penggunaan tumbuhan tempatan ini juga memperkaya ekosistem mikro tanah dan menarik kehadiran fauna kecil seperti cacing dan serangga yang menyumbang kepada kitaran nutrien secara semula jadi. Pendekatan biokejuruteraan cerun membuktikan bahawa sains moden boleh berpadu dengan kebijaksanaan tradisional bagi mewujudkan sistem pertanian bersepadu yang lebih stabil, lestari dan berdaya tahan.

Ilmu Hidup dari Lapangan Cerun

Latihan SSEDAR yang telah dijalankan di Taman Agroteknologi, MARDI Cameron Highlands bukan sekadar sesi pengajaran biasa. Latihan ini dirancang dengan teliti bagi memenuhi keperluan komuniti tani yang mengusahakan kebun di kawasan cerun berbukit. Lima modul telah disusun menyatukan ilmu sains tanih dengan amalan praktikal, daripada pengenalan tumbuhan sebagai agen penstabil tanah, hinggalah kepada pemahaman tentang struktur cerun, jenis kegagalan cerun, peranan petani dalam cerun selamat dan peranan fauna kecil dalam mengekalkan kestabilan ekosistem cerun.  Peserta bukan sahaja mendengar teori, tetapi turut menyaksikan bukti saintifik melalui simulasi hujan bagi melihat pengaruh hujan terhadap hakisan pada cerun pertanian. Program ini menjadikan sains sesuatu yang mudah difahami dan membantu para petani menambah baik amalan sedia ada sekaligus sama-sama menyumbang kepada kelestarian cerun di Cameron Highlands secara menyeluruh.

Pengajaran lapangan menggunakan simulasi hujan pada cerun pertanian MARDI.

Ilmu yang Membentuk Amalan

Analisis soal selidik yang dijalankan menunjukkan bahawa peningkatan jelas dalam pengetahuan, kesedaran dan kemahiran peserta terhadap pengurusan lestari. Petani lebih peka terhadap cabaran perubahan iklim dengan pengetahuan dan kemahiran yang boleh terus diamalkan di kebun masing-masing. Kesedaran ini juga menanam rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kefahaman bahawa keterjaminan produktiviti pertanian bergantung pada keseimbangan hasil dan ekologi. Kejayaan tersebut membuka jalan kepada kesinambungan melalui SSEDAR 2.0 yang akan menumpukan kepada pengaplikasian pendekatan biokejuruteraan tanih pada cerun pertanian sebenar, pelantikan petani rujukan dan pemantauan secara berterusan.

Kesimpulan

Program SSEDAR membuktikan bahawa sains bukan sekadar teori di makmal, tetapi juga nadi kehidupan kepada alam sebenar. Ilmu yang disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami dan disesuaikan dengan budaya tempatan, kesannya lebih bermakna dan berpanjangan. Pendekatan biokejuruteraan ini memberikan nafas baharu kepada pertanian lestari dengan gabungan elemen mekanikal, biologi dan hidrologi yang saling melengkapi. Usaha gigih para penyelidik dan petani di Cameron Highlands membuktikan bahawa ilmu sains dan amalan sedia ada boleh bergabung membentuk keseimbangan baharu. Kejayaan ini merupakan satu permulaan kepada langkah yang lebih besar menuju masa hadapan yang hijau, stabil dan sejahtera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi