Diterbitkan pada 4 Januari 2026, 19:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kedah – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pelawaan kepada Gano Excel Industries Sdn. Bhd. agar meneroka potensi pengembangan perniagaan di Perlis.

Hasrat tersebut dizahirkan ketika baginda berkenan mengadakan lawatan ke Ladang Gano Excel di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, sebuah ladang penanaman Ganoderma lucidum (Lingzhi/Reishi) yang diiktiraf sebagai ladang organik terbesar di dunia.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengasas dan Presiden Gano Excel International, Leow Soon Seng, serta Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif, Leow Soon Kiak.

Dalam sesi taklimat, Leow Soon Seng memaklumkan bahawa operasi syarikat merangkumi lebih 100 rumah hijau khas berteknologi tinggi, masing-masing mampu menampung sehingga 30,000 bongkah tanaman, bagi memastikan pengeluaran berskala besar dan konsisten untuk pasaran global.

Menurut beliau, setiap rumah hijau dilengkapi sistem kawalan mikroiklim bagi menjamin pertumbuhan Ganoderma yang seragam, bersih dan berkualiti tinggi, manakala keseluruhan proses penanaman menggunakan media organik sepenuhnya tanpa bahan kimia. Jelasnya,

Proses pensterilan bersuhu tinggi digunakan sebelum penanaman dan penuaian dilakukan secara manual pada tahap kematangan optimum dan bongkah tanaman terpakai dikitar semula sebagai baja organik sejajar dengan prinsip kelestarian alam sekitar.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat fasiliti pemprosesan syarikat antaranya termasuklah makmal kawalan kualiti, mikrobiologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta analisis kimia bagi memastikan setiap produk dipantau dan diuji secara saintifik sebelum dipasarkan.

Sebagai peneraju industri imunologi pemakanan berasaskan Ganoderma, Gano Excel memiliki prasarana bertaraf antarabangsa yang mematuhi piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), selain diperakui di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic).

Syarikat itu juga turut menerima pengiktirafan antarabangsa antaranya termasuklah pemeriksaan oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap tahap keselamatan, kualiti dan ketulenan produknya dalam pasaran global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi