Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Bidang sains penglihatan bukan sekadar berkisar tentang pemeriksaan penglihatan dan preskripsi kaca mata semata-mata, sebaliknya merangkumi peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti.
Hakikat ini diterjemahkan melalui penganjuran program Restoring iSight, Embracing Roots (RiSER) yang dilaksanakan di Kampung Teluk Pelandok, Port Dickson dari 22 hingga 24 Disember 2025.
RiSER yang dianjurkan oleh Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mata serta peranan alat pembetulan penglihatan dalam memperbaiki kualiti hidup.
Pada masa yang sama, peserta didedahkan kepada kemahiran saringan penglihatan asas dan kefahaman tentang impak sosial penggunaan semula kaca mata kepada golongan yang memerlukan.
Program ini turut memberikan penekanan kepada penghayatan warisan budaya Malaysia melalui pengalaman langsung dalam aktiviti tradisional, selain memupuk penglibatan komuniti, tanggungjawab sosial dan penghargaan terhadap kepelbagaian latar budaya.
Elemen kelestarian turut diterapkan dengan menggalakkan amalan kitar semula kaca mata serta pendekatan beretika dalam khidmat masyarakat, di samping menyemai semangat pembelajaran sepanjang hayat dan kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Sebagai nadi utama program, RiSER menekankan pemeriksaan mata melalui perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, UKM yang membolehkan peserta menjalani saringan penglihatan secara profesional.
Aktiviti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, malah masyarakat tempatan merasai manfaat secara langsung.
Hasil pemeriksaan ini, sebanyak 59 unit kaca mata kitar semula berjaya diagihkan kepada penduduk kampung yang memerlukan, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan penglihatan serta memberikan impak positif terhadap kualiti hidup mereka.

Yang menariknya, RiSER turut membawa dimensi pembelajaran antarabangsa apabila melibatkan penyertaan tiga orang pelajar dari Konan University, Jepun sebagai sebahagian daripada program mobiliti pelajar antarabangsa.
Penglibatan ini membuka ruang kepada pertukaran ilmu, perspektif budaya serta pemahaman terhadap pendekatan perkhidmatan kesihatan komuniti yang berbeza antara negara.
Selaras dengan semangat Embracing Roots, peserta RiSER turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti tradisional yang mencerminkan warisan budaya tempatan.
Mereka berpeluang mempelajari permainan tradisional seperti congkak, menyertai aktiviti kraf tangan dengan menganyam bakul rotan dan mewarna batik, aktiviti kulinari seperti membuat kuih tradisional, mengukur kelapa dan menganyam ketupat selain berpeluang bermain alat muzik tradisional, iaitu gamelan dan gendang timur.
Aktiviti komuniti ini turut dimeriahkan lagi dengan gotong-royong membersihkan jeti Kampung Teluk Pelandok dan mengutip remis bersama-sama penduduk kampung.
Pendekatan pengalaman langsung ini membolehkan peserta menghargai warisan budaya secara praktikal, sambil memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dan menanam nilai kesabaran, ketelitian serta kerjasama.
Pengalaman pelaksanaan RiSER turut mendapat maklum balas positif daripada rakan akademik antarabangsa. Shari Yamamoto, pensyarah pengiring dari Konan University, Jepun menyifatkan program tersebut sebagai satu pengalaman bermakna yang memberikan impak mendalam kepada semua yang terlibat.
Beliau menekankan bahawa RiSER bukan sekadar program akademik, malah berjaya menyatukan peserta, menyentuh emosi serta mewujudkan pengalaman pembelajaran yang akan dikenang sepanjang hayat.
Katanya,
Pelaksanaan pengagihan kaca mata kitar semula turut memberikan gambaran jelas terhadap sains dan keprihatinan sosial dapat digabungkan untuk memberikan kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama pasukan penganjur dalam merealisasikan penganjuran RiSER serta menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform kerjasama dan persahabatan antarabangsa pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, RiSER memperlihatkan bahawa sains penglihatan boleh diaplikasikan secara langsung untuk mendekati masyarakat, di samping memupuk kesedaran terhadap kelestarian dan kepentingan kerjasama rentas budaya.
Program ini mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam memanfaatkan ilmu sains sebagai wahana pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.
