Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Tuba – Bengkel Latihan Komuniti Perikanan yang dianjurkan oleh Stesen Penyelidikan Marin, Fakulti Sains Gunaan dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komuniti dalam penanaman lestari Caulerpa lentillifera atau laktud serta memperkukuh pengetahuan berkaitan dengan pembangunan produk nilai tambah dan aspek keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan masyarakat pesisir.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail itu disertai oleh 20 orang komuniti setempat di kawasan berkenaan dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) 2025.
Untuk memastikan penyampaian ilmu yang lebih sistematik, bengkel tersebut dibahagikan kepada empat kluster latihan yang merangkumi bidang kepakaran berbeza.
Kluster pertama yang dikendalikan oleh YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam dan Ts. Sharir Aizat memberikan penekanan kepada pengenalan laktud dari aspek taksonomi, ekologi dan kepentingan ekonomi, sekali gus membolehkan para peserta memahami ciri biologi dan keperluan habitat laktud sebagai asas penting untuk membangunkan aktiviti akuakultur berskala kecil yang mampu menjadi sumber ekonomi tambahan.
Kluster kedua pula memberikan tumpuan pada latihan asas pemprosesan makanan berasaskan rumpai laut, khususnya penghasilan keropok kering laktud dan sesi yang dikendalikan oleh Ts. Zamzila Erdawati Zainol serta Puan Aziani Ahmad ini memberikan pendedahan kepada teknik pemprosesan makanan yang selamat, kawalan kualiti dan amalan sanitasi yang betul bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian sebelum dipasarkan, sekali gus membuka peluang kepada komuniti untuk mengembangkan produk makanan inovatif berasaskan laktud.

Seterusnya, kluster ketiga yang dikendalikan oleh YBrs. Dr. Non Daina Masdar bersama-sama dua orang fasilitator, iaitu Puan Nur Amira Yasmin Mohd Nizar dan Puan Nurul Hidayah Rosmee memfokuskan teknik asas formulasi kosmetik yang meliputi penghasilan pelindung (sunblock) berasaskan ekstrak rumpai laut.

Pada masa yang sama, bengkel tersebut juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mempelajari pengendalian bahan, formulasi produk serta penilaian kestabilan yang membuka ruang kepada komuniti untuk meneroka industri kosmetik yang sedang berkembang pesat, termasuklah potensi produk berasaskan rumpai laut yang menembusi pasaran pelancongan di Langkawi.
Kluster keempat pula menekankan pembangunan asas keusahawanan melalui sesi yang dikendalikan oleh Encik Mohamad Niza Md Nor, Puan Nurwahida Fuad dan Puan Noor Hafizha Muhamad Yusuf yang merangkumi penyediaan pelan mini perniagaan, strategi pemasaran, penjenamaan produk dan teknik pemasaran digital.

Latihan yang diberikan sepanjang bengkel ini berlangsung membantu para peserta untuk memahami keperluan serta strategi dalam memulakan perniagaan kecil yang berdaya saing dengan menggabungkan kemahiran teknikal yang dipelajari dalam kluster terdahulu bersama-sama strategi pemasaran yang lebih efektif.
Bengkel ini dijangkakan memberikan impak yang positif terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti Pulau Tuba melalui pemanfaatan sumber rumpai laut sebagai asas aktiviti ekonomi baharu, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM dalam menyokong agenda Komuniti@UniMADANI 2025 ke arah melahirkan masyarakat yang berdaya tahan, inovatif dan berpengetahuan.