Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – Program lawatan PUSPANITA MOSTI ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menjadi pentas penting yang menggabungkan agenda kesejahteraan mental dan pemahaman terhadap teknologi angkasa negara.
Lawatan ini berlangsung di kemudahan Assembly, Integration and Test (AIT) MYSA sebagai usaha untuk mengembangkan hubungan serta menyampaikan mesej berkaitan dengan penjagaan emosi dalam kalangan warga MOSTI.
Webinar yang bertajuk Minda Sihat, Hindari Burnout menjadi pengisian utama program dengan pembentangan oleh Puan Manisah Saedon dari Agensi Nuklear Malaysia kepada 191 peserta dalam talian dengan penyertaan ahli PUSPANITA MYSA secara fizikal.
Sesi tersebut memberikan penekanan terhadap keseimbangan kerjaya–kehidupan dan keperluan untuk mengenal pasti tanda awal tekanan mental dalam suasana kerja pada masa ini.
Pengerusi PUSPANITA MOSTI, YBhg. Datin Seri Roslina Mior Adlan dalam ucapannya menyatakan komitmen persatuan untuk menyediakan sokongan berterusan berkaitan kesejahteraan mental dalam kalangan warga MOSTI.
“Kami mahu warga MOSTI sentiasa diberikan ruang dan sokongan untuk menjaga kesejahteraan mental serta emosi dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Suasana program menjadi lebih interaktif melalui Kuiz Kahoot yang merangkumi 20 soalan tentang kesihatan mental serta menawarkan ganjaran kepada peserta yang berjaya menjawab dengan tepat.
Maklum balas positif dalam ruangan sembang (chat) menunjukkan penerimaan yang baik terhadap gabungan elemen pendidikan dan interaktif sepanjang sesi tersebut.

Selepas webinar, peserta dibawa melawat ke kemudahan AIT MYSA yang berperanan untuk memastikan komponen satelit dipasang dan diuji dalam persekitaran bilik bersih mengikut piawaian antarabangsa.
Lawatan tersebut turut merangkumi penerangan mengenai proses integrasi sistem satelit, ujian simulasi persekitaran angkasa dan fungsi kemudahan itu dalam menyokong pembangunan misi negara seperti MEASAT, RazakSAT dan SATRIA.

Pengarah Bahagian Kejuruteraan dan Teknologi Angkasa merangkap Penyelaras Kompleks Teknologi Angkasa MYSA, Encik Fazuwan Ahmad Fauzi menyampaikan penghargaan atas lawatan serta pengisian bermanfaat yang dikongsikan.
Kunjungan rasmi ini turut disertai sesi bergambar dan tandatangan buku pelawat sebagai tanda hubungan dua hala yang terus diperkukuh antara PUSPANITA MOSTI dengan MYSA.

Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Datin Nor Azah Jamaludin dari PUSPANITA Cawangan Kecil MYSA dan YBrs. Dr. Zaliah Takrim dari PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia.