Diterbitkan pada 2 November 2025, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Tengku – Klinik Pergigian Padang Tengku terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh hubungan antara komuniti menerusi Program Kolaborasi Kesihatan Oral dan Agama yang dilaksanakan di beberapa rumah ibadat.

Masjid Tengku Abdullah, Padang Tengku, Kuala Lipis telah dipilih sebagai rakan kerjasama dalam program ini bagi merapatkan hubungan antara Klinik Pergigian Padang Tengku dengan penduduk setempat.

Selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan gigi dan mulut, program tersebut turut memberikan peluang kepada penduduk setempat untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan pergigian secara percuma dan memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan rawatan pergigian.

Program Kolaborasi Kesihatan Oral dan Agama membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan pergigian secara percuma tanpa perlu hadir ke klinik pergigian.

Menurut seorang kakitangan dari Klinik Pergigian Padang Tengku, pendekatan ini berbeza daripada program konvensional kerana menggabungkan elemen kesihatan dan keagamaan dalam satu wadah yang dekat dengan masyarakat.

Katanya,

Melalui kolaborasi bersama-sama institusi agama seperti masjid, kuil dan maahad tahfiz, kami dapat mendekati lebih banyak individu tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, sekali gus memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat penjagaan kesihatan oral.

Tambah beliau, program di masjid biasanya diadakan pada hari Jumaat bagi memberikan tumpuan kepada jemaah setempat yang hadir menunaikan solat Jumaat.

Sepanjang program tersebut berlangsung, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila jemaah masjid mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat pergigian secara percuma selepas menunaikan solat Jumaat.

Pelaksanaan program turut melibatkan pegawai pergigian, juruterapi pergigian, penolong pegawai pergigian serta kakitangan sokongan yang memainkan peranan penting dalam penyediaan peralatan dan pengurusan tapak program.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi