Diterbitkan pada 5 November 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peria katak atau nama saintifiknya Momordica charantia tergolong dalam famili Cucurbitaceae, iaitu kumpulan tumbuhan yang hidup secara memanjat dan sering dirujuk sebagai famili labu. Ahli lain dalam famili ini termasuklah timun, labu, zukini, petola dan labu air. Dalam kumpulan tumbuhan ini, peria katak terkenal dengan rasanya yang pahit, satu ciri yang membezakannya daripada tumbuhan lain dalam famili labu.

Rasa pahit tersebut sering dianggap sukar untuk diterima, namun di sebalik keanehan rasa itu, tersimpan keistimewaan yang menjadikan peria katak begitu bernilai. Keunikan tersebut berpunca daripada kehadiran pelbagai sebatian bioaktif yang bukan sahaja berfungsi melindungi tumbuhan daripada ancaman persekitaran, malah menawarkan manfaat yang penting kepada kesihatan manusia.

Bahan Aktif dalam Peria Katak

Rasa pahit pada peria katak terhasil daripada pelbagai sebatian semula jadi seperti momordisin, karantin dan charantin. Sebatian ini berperanan sebagai pelindung semula jadi terhadap ancaman persekitaran, di samping mempunyai potensi perubatan yang signifikan untuk dimanfaatkan dalam bidang kesihatan manusia.

Rajah 1 Sebatian dalam buah peria.

Manfaat Rasa Pahit Peria Katak

Rasa pahit pada peria katak mempunyai fungsi penting dalam kelangsungan hidup tumbuhan dan manfaat kesihatan manusia. Dari sudut ekologi, rasa pahit berperanan sebagai mekanisme pertahanan semula jadi yang melindungi tumbuhan daripada serangan serangga dan haiwan pemakan tumbuhan.

Dari perspektif perubatan pula, sebatian yang menghasilkan rasa pahit ini dikenal pasti mempunyai sifat antidiabetik, antikulat, antibakteria dan antiradang yang berpotensi digunakan dalam rawatan kesihatan. Selain itu, sebatian pahit turut membantu merangsang penghasilan enzim penghadaman dan hempedu yang penting dalam proses pencernaan serta penyerapan nutrien dalam tubuh.

Biji Peria Katak

Dalam industri makanan dan kesihatan, buah peria katak sering digunakan sebagai bahan utama, manakala bijinya dianggap sisa tanpa nilai komersial. Namun begitu, penyelidikan terkini membuktikan bahawa biji peria katak mengandungi protein, peptida dan antioksidan dengan keupayaan tinggi sebagai bahan antikulat semula jadi.

Ekstrak biji peria katakl didapati berkesan menghalang pertumbuhan kulat seperti Fusarium solani dan Trichoderma spp. pada tanaman cendawan. Selain itu, ekstrak ini memiliki sifat antibakteria yang membantu mencegah jangkitan mikrob. Penemuan ini juga membuka ruang baharu terhadap potensi biji peria katak dalam bidang pertanian dan bioteknologi.

Serangan Trichoderma spp.

Trichoderma spp. ialah sejenis kulat hijau yang sering memberikan cabaran kepada pengusaha cendawan. Kulat ini mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan cepat, tahan terhadap pelbagai keadaan persekitaran dan mudah merebak melalui spora halus di udara. Apabila menjangkiti bongkah cendawan yang sihat, Trichoderma spp. akan bersaing untuk mendapatkan nutrien dan ruang tumbesaran.

Bongkah cendawan yang sihat berwarna putih (kiri) dan setelah dijangkiti dengan kulat hijau (kanan).

Keupayaan pertumbuhan dan daya saing Trichoderma spp. yang lebih tinggi berbanding dengan cendawan seperti Pleurotus ostreatus menyebabkan miselium cendawan yang berwarna putih berubah menjadi hijau akibat pembentukan spora kulat tersebut. Sekiranya jangkitan tidak dikawal dengan segera, penyebarannya boleh berlaku dengan pantas dan menyebabkan kerugian yang besar kepada pengusaha cendawan.

Trichoderma spp. dalam Lensa Saintifik

Untuk memahami keberkesanan ekstrak biji peria dalam mengawal pertumbuhan Trichoderma spp., penting untuk meneliti cara kulat ini hidup dan membiak.

Trichoderma spp. dan Pleurotus ostreatus tergolong dalam kumpulan kulat yang membiak melalui spora halus. Spora berfungsi sebagai agen pembiakan dan boleh tersebar melalui udara, air, haiwan atau manusia.

Apabila spora jatuh pada medium yang sesuai, yakni mencukupi dari segi kelembapan, suhu dan sumber nutrien, proses percambahan akan bermula. Spora tersebut membentuk hifa yang bercabang dan akhirnya berkembang menjadi jaringan miselium.

Trichoderma spp. yang dihidupkan dalam medium agar di makmal.

Miselium yang matang mampu menghasilkan struktur pembiakan baharu yang seterusnya melepaskan spora untuk meneruskan kitaran pertumbuhan kulat. Dalam persekitaran makmal, Trichoderma spp. dapat dikenal pasti melalui warna hijau zaitun pada medium agar yang membentuk corak berlingkar. Warna hijau ini akan menjadi semakin pekat apabila koloni mencapai tahap kematangan.

Struktur mikroskop Trichoderma spp. pula mempunyai bentuk menarik yang menyerupai pokok kecil. Bahagiannya terdiri daripada konidiofor, fialia dan konidia.

Struktur mikroskop Trichoderma spp.

Ekstrak Biji Peria Katak

Ekstrak biji peria katak mengandungi protein, peptida dan antioksidan yang berpotensi tinggi untuk merencatkan pertumbuhan Trichoderma spp. Oleh sebab biji peria katak bersifat keras, bahan aktif perlu dikeluarkan melalui kaedah ultrasound-assisted extraction (UAE) dengan menggunakan air suling sebagai pelarut.

Proses pengekstrakan biji peria dengan menggunakan kaedah UAE.

Apabila ekstrak ini diaplikasikan pada kultur Trichoderma spp., hasil pemerhatian menunjukkan perencatan yang ketara terhadap pertumbuhan kulat. Dalam piring kawalan, spora hijau tumbuh dengan subur, manakala dalam piring rawatan, hanya kelihatan miselium putih tanpa spora.

Pemerhatian ini menunjukkan bahawa ekstrak biji peria katak berupaya menghalang proses pembentukan spora. Ketiadaan spora baharu menyebabkan pertumbuhan kulat terhenti, sekali gus memberikan peluang kepada cendawan untuk tumbuh dengan baik tanpa persaingan.

Piring petri kawalan (kiri) menunjukkan spora hijau Trichoderma spp. jelas kelihatan, manakala piring petri rawatan (kanan) dengan biji peria katak menunjukkan kehadiran miselium dan spora hijau tidak kelihatan.

Kesimpulannya, ekstrak biji peria katak terbukti mempunyai sifat antikulat semula jadi yang berpotensi dimanfaatkan dalam pengawalan Trichoderma spp. pada tanaman cendawan. Pendekatan berasaskan bahan semula jadi ini mampu membantu untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia sintetik serta menyokong amalan pertanian yang lebih lestari.

Selain menyumbang kepada kawalan biologi yang selamat, penggunaan hasil sampingan tumbuhan seperti biji peria katak sebagai sumber bioaktif turut selaras dengan matlamat kedua dalam Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan keselamatan makanan dan pertanian berdaya tahan. Kajian lanjut juga amat digalakkan bagi mengenal pasti potensi sebatian aktif daripada sisa tumbuhan tempatan agar dapat dimanfaatkan secara optimum dalam bidang sains dan industri.

YBrs. Profesor Madya Dr. Noor Hasyierah Mohd Salleh,
Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia,
Universiti Malaysia Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi